LIVERPPOOL – Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp mengumumkan bahawa pintu untuk mereka mendapatkan pemain baharu telah pun ditutup.
Sebaliknya Klopp menjelaskan pemain akademi mereka, Rhian Brewster bakal diberi peluang menyertai skuad The Reds selain mengalu-alukan kehadiran semula pemain tengah, Alex Oxlade-Chamberlain yang semakin cergas selepas bergelut dengan kecederaan sepanjang musim lalu.
“Kami sudah ada pemain yang bagus seperti Chamberlain dan Brester. Mereka tidak beraksi bersama kami tahun lalu dan saya anggap mereka ini sebagai pemain baharu yang telah diberi tugas lebih besar pada musim hadapan.
“Walaupun jendela perpindahan pemain akan ditutup pada 8 Ogos ini, kami telah pun menutup pintu itu lebih awal sebelum tarikh rasmi,” kata Klopp.
Setakat ini Liverpool hanya melengkapkan pembelian seorang pemain muda, Sepp Van Den Berg dari PEC Zwolle.
Dalam perkembangan sama, Klopp mengakui dia lebih berminat untuk membangunkan bakat-bakat baharu daripada pemain akademi Liverpool berbanding mengeluarkan belanja besar mendapatkan pemain baharu.
“Saya mahu jadikan Brewster sebagai penyerang berkualiti. Saya sudah beritahu kepadanya bahawa dia akan menggalas tugas yang besar pada musim hadapan. Sama ada dia boleh memikul tanggungjawab itu atau tidak, semuanya bergantung pada perkembangannya,” kata Klopp. – Agensi.











