KUALA LUMPUR 11 Julai – Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) menggesa syarikat-syarikat tempatan menyertai Projek Perangsang Ekonomi (EAP) bagi koridor sepanjang Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).
MIDA dalam kenyataannya berkata, unit tersebut kini sedang bekerjasama rapat dengan negeri-negeri terlibat dan pihak yang berminat bagi memaklumkan dan mempromosikan EAP.
Katanya, MIDA setakat ini telah terlibat dengan pelbagai program kesedaran untuk menyediakan maklumat berkaitan ECRP termasuk wawancara bersama media, Mesyuarat Meja Bulat Pengeluar Malaysia-China dan Forum Prospek Malaysia-China.
“MIDA juga merancang untuk menganjurkan seminar dan acara perniagaan bagi terus mempromosikan serta menerima maklumat daripada syarikat-syarikat yang berminat mengambil bahagian dalam pembangunan EAP,” katanya di sini hari ini. – UTUSAN ONLINE











