KUALA LUMPUR – Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), hari ini, meletakkan garis panduan yang baharu selepas badan induk itu memutuskan mana-mana calon yang ingin bertanding bagi merebut kerusi presiden bagi sesi 2022-2026 perlu mendapatkan sekurang-kurangnya enam pencalonan daripada ahli gabungan.
Timbalan Presiden FAM, Datuk Mohd. Yusoff Mahadi berkata, pindaan statut dilakukan bagi memastikan mana-mana calon yang berminat untuk memimpin badan induk tersebut mesti terdiri daripada individu yang berkelayakan.
“Memang ada beberapa perubahan yang dilakukan dan ia selaras Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) dan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA). Kita lihat memang ada keperluan untuk membuat sedikit perubahan.
“Ini kerana setiap kali pencalonan kita tidak mahu melihat calon-calon yang tidak mempunyai kredibiliti turut bersaing. Itu menunjukkan calon tersebut tidak mempunyai kredibiliti yang mencukupi untuk bertanding bagi jawatan presiden. FAM juga mahu mengelakkan daripada jawatan presiden dipersendakan.
“Contoh, jika 18 ahli gabungan sokong seorang calon tiba-tiba satu ahli gabungan mencadangkan calon lain, pertandingan terpaksa diadakan. FAM tidak mahu jawatan presiden ini boleh dipersendakan. FAM mahu dihormati. Sesiapa yang nak bertanding kena benar-benar layak,” katanya selepas Kongres Tahunan ke-55 FAM di sini, hari ini.
Antara pindaan baharu dalam statut FAM ialah Artikel 27 (4): pemilihan iaitu setiap calon hendaklah mendapat jumlah pencalonan minimum dari ahli mengikut jawatan yang ditandingi iaitu presiden (enam pencalonan), timbalan presiden (lima pencalonan), naib presiden (empat pencalonan) dan ahli jawatankuasa eksekutif (dua pencalonan).
Ia selaras dengan Artikel 27 (1) dalam Statut FIFA dan Artikel 38 (2) dalam Statut AFC.
Dalam perkembangan lain, Datuk Kamarul Ariffin Mohd. Shahar dipilih sebagai Ahli Jawatankuasa Eksekutif FAM yang baharu selepas menerima 25 undian menewaskan Syed Yazid Syed Omar yang mendapat lapan undian, manakala Khamal Idris Ali, Dr. Amar Pritpal Abdullah, Hairul Anwar Mohamed Noor masing-masing hanya menerima dua undi. – UTUSAN ONLINE











