MELAKA – Seorang suri rumah mengalami kerugian RM5,000 selepas terpedaya dengan cinta seorang lelaki warga China yang dikenalinya menerusi laman sosial Facebook tidak sampai sebulan.
Difahamkan wanita berusia 51 tahun dan sudah berkahwin itu mempunyai masalah rumah tangga sebelum mula berkenalan dengan lelaki tersebut yang mendakwa kononnya merupakan seorang ahli perniagaan dalam bidang import-eksport.
Setiausaha Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (Japerun) Ayer Keroh, Alice Lee, berkata, selepas beberapa hari berkenalan, lelaki itu memberitahu ingin memulakan perniagaan di negara ini dan meminta bantuan mangsa membayar deposit dikenakan kerajaan berjumlah RM10,000.
“Mangsa kemudian telah melakukan dua transaksi memasukkan wang berjumlah umlah RM5,000 ke akaun milik seorang peguam bernama Rosalia P. Samierto.
“Pihak bank ada menasihatkan wanita itu untuk berhati-hati selepas mendapati berlaku transaksi mencurigakan menerusi akaun terbabit, namun mangsa hanya menyalahkan kerajaan yang mengenakan deposit tinggi terhadap kekasihnya itu,” katanya dalam sidang akhbar di pejabat Japerun Ayer Keroh di Taman Ayer Keroh Heights di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Alice berkata, selepas memasukkan wang sebanyak RM5,000 seorang lelaki mendakwa sebagai peguam dan pemilik akaun tersebut menghubungi mangsa menerusi aplikasi WhatsApp meminta wanita itu membayar wang cukai sebanyak RM108,900.
“Selepas tidak lagi mempunyai wang sebanyak itu, katanya, mangsa datang ke pejabat Japerun Ayer Keroh untuk berbincang sebelum membuat laporan di Balai Polis Batu Berendam kelmarin,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad ketika dihubungi mengesahkan pihaknya menerima laporan tersebut dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.
Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah jatuh cinta dengan seseorang yang baru dikenali melalui laman sosial malah menjadikan kes-kes penipuan seperti Love Scam yang berlaku di seluruh negara sebagai panduan. – K! ONLINE











