JOHOR BAHRU 22 Julai – Memetik buah nanas bukan suatu kerja mudah, apatah lagi bagi yang pertama kali melakukannya.
Justeru apabila berpeluang melakukannya, perkara itu pasti memberi pengalaman yang berharga dan pasti tidak akan dilupakan.
Malah, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar turut berkenan mencuba memetik buah nanas semasa melawat ladang Melita Premium Fresh Pineapple milik Kulim (M) Berhad, anak syarikat Johor Corporation (JCorp) di Ulu Tebrau, dekat sini pada hari terakhir Kembara Mahkota Johor (KMJ) 2019, hari ini.
Nyata, baginda tidak kekok dan menunjukkan kemahiran memetik buah nanas yang terkenal dengan rasa enak dan manis.
Sultan Ibrahim yang ditemani Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Ibni Almarhum Sultan Idris Shah dan rombongan turut melawat kilang memproses nanas yang terletak di ladang berkenaan.
Yang turut hadir, Menteri Besar, Datuk Dr. Sahruddin Jamal serta Presiden dan Ketua Eksekutif JCorp, Datuk Kamaruzzaman Abu Kassim.
Terdahulu, Sultan Ibrahim memulakan konvoi bermotosikal kira-kira pukul 8 pagi dari Mersing menuju ke Kampung Sungai Telor, Kota Tinggi.
Di lokasi berkenaan baginda meluangkan masa kira-kira sejam menyaksikan pelbagai acara yang diadakan seperti permainan tradisional, persembahan kebudayaan, sumbangan kepada golongan kurang berkemampuan dan sukaneka.
Kemudian baginda dan rombongan meneruskan jelajah ke Felda Taib Andak, Kulai dan mengakhiri jelajah KMJ 2019 dengan melawat ladang nanas Kulim (M) Berhad.
KMJ 2019 yang merupakan ediai ke-22 menjelajah ke semua 10 daerah di negeri ini sejauh 686 kilometer.
KMJ diilhamkan oleh Sultan Ibrahim dan bermula sejak 2001. -UTUSAN ONLINE











