KUALA LUMPUR 21 Julai – Kini sudah tiba masa Putrajaya membiayai Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) berdasarkan kepada peranan kritikal yang dimainkan dalam memastikan perjalanan pilihan raya kekal lancar,
Perkara itu dicadangkan oleh bekas Pengerusi Bersih, Datuk S. Ambiga namun beliau berharap pembiayaan diberikan tanpa syarat atau had.
Jelasnya, kehadiran Bersih telah memastikan semua orang berkelakuan secara bertanggungjawab dalam setiap pilihan raya.
“Jadi, saya ingin melihat kerajaan ini walaupun dikritik Bersih, berkata mereka akan memberi Bersih bentuk pembiayaan supaya mereka dapat menjalankan tugas penting mereka,” katanya seperti dipetik Portal Free Malaysia Today (FMT), semalam.
Bersih dibentuk pada tahun 2006 oleh pemimpin parti politik, kumpulan masyarakat sivil dan NGO sebelum dilancarkan semula sebagai gerakan masyarakat sivil pada 2010.
Ia mengadakan lima perhimpunan dan meminta pembaharuan pilihan raya termasuk penggunaan dakwat kekal.
Ambiga berkata, Bersih masih memiliki tugas untuk dilakukan seperti menuntut kepada tempoh perkhidmatan Perdana Menteri hanya untuk dua penggal.
“Dan hingga ke hari ini, mereka terus memainkan peranan penting dalam meneruskan impian kehidupan demokrasi di mana sahaja mereka berada,” katanya. – UTUSAN ONLINE











