Strategi bantu kemenangan Jihin - Utusan Malaysia

Strategi bantu kemenangan Jihin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Strategi membaca teknik gerakan lawan menjadi kunci kejayaan kepada petarung seni mempertahankan diri campuran (MMA) negara, Jihin Radzuan menewaskan pencabar dari Filipina, Jomary Torres dalam kategori atomweight pada kejohanan ONE: Masters of Destiny di Axiata Arena, Bukit Jalil, semalam.

Jihin, 20, hanya memerlukan masa selama tiga minit, tujuh saat untuk menyingkirkan petarung dari Filipina itu dengan menggunakan teknik triangle choke dalam pusingan pertama selepas Torres mengaku kalah.

“Kemenangan ini boleh dianggap sebagai kebangkitan semula saya, walaupun ada rasa gementar. Rasa seperti sukar, tetapi saya cuba menenangkan diri.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Saya memang menyasarkan untuk menewaskan lawan pada pusingan pertama atau kedua dan apa yang dirancang semuanya menjadi. Sebelum beraksi, saya ada menonton aksi Torres dan dia suka menghempas lawan.

“Seperti dijangka dia melakukan teknik itu ketika saya melakukan triangle choke ke atas dirinya,” kata petarung dari Johor itu selepas tamat perlawanan di Bukit Jalil, semalam.

Sementara itu, dua wakil Malaysia yang bersaing dalam kategori Muay Thai menyaksikan Mohammed Mahmoud atau digelar Jordan Boy menewaskan rakan senegaranya, Saiful Merican. Mohammed menumpaskan Saiful yang kembali ke gelanggang selepas dua tahun berehat akibat kecederaan dalam tiga pusingan perlawanan.

Selepas tiga kali berturut-turut kalah sebelum ini, Mohammed bangkit mencipta kemenangan buat kali kedua tahun ini.

“Saya berusaha keras dan banyak melakukan latihan bersama dan lega apabila berjaya memenangi perlawanan ini,” kata Mohammed.

Seorang lagi wakil negara, Ev Ting menewaskan Daichi Abe dari Jepun dalam kategori lightweight. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini