KUALA LUMPUR 4 Julai – Profil Skor Kredit 2019 RAM Credit Information Sdn. Bhd. (RAMCI) melibatkan sampel asas sebanyak 4.2 juta individu mendedahkan sebanyak 69 peratus rakyat Malaysia mempunyai skor kredit yang baik atau kukuh.
Ketua Pegawai Eksekutif RAMCI, Dawn Lai berkata, baki 21 peratus menunjukkan skor kredit sederhana dan 10 peratus berada pada kedudukan skor kredit yang lemah berdepan masalah antaranya membuat bayaran hutang bulanan.
Katanya, walaupun ini merupakan peningkatan berbanding statistik tahun lepas iaitu 65 peratus mempunyai skor kredit yang baik, kadar celik kewangan di Malaysia masih di bawah purata.
“Sesetengah masyarakat tidak peduli akan kecelikan kewangan kerana mereka tidak mengetahui tentang kelebihan memiliki skor kredit yang baik.
“Tahap kesedaran di sesetengah negara membangun lebih tinggi kerana bank dan pemberi pinjaman menawarkan kadar faedah yang rendah buat mereka memiliki skor kredit baik,” katanya selepas pelancaran Bulan Kesihatan Kredit 2019 (CHM 2019) yang kedua di sini hari ini.
Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) mendedahkan Malaysia menduduki tempat ke-26 di antara 30 negara yang turut serta dalam Laporan 2016 Untuk Organisasi Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD).
Program pendidikan dan kesedaran itu bagi memperkasakan rakyat Malaysia dalam meningkatkan usaha untuk menjaga kesihatan kredit mereka dan sekaligus meningkatkan kedudukan celik kewangan negara di peringkat antarabangsa.
Lai berkata, dalam profil sama, kira-kira 71 peratus daripada asas sampel adalah mereka yang berumur 44 tahun ke bawah, iaitu peringkat umur utama yang sering mengambil kredit.
Katanya, berdasarkan statistik ini, profil skor kredit individu semakin bertambah kukuh seiring dengan usia.
“Malah, sebanyak 56 peratus golongan berusia 55 tahun ke atas mempunyai profil skor kredit yang kukuh, membuktikan mereka lebih berdisiplin atau kurang komitmen.
“Sebagai perbandingan, hanya 29 peratus golongan millennial mencapai skor kredit di bawah kategori kukuh, berkemungkinan disebabkan oleh tempoh kredit yang singkat serta tidak berpengalaman menguruskannya,” katanya.
• 69% rakyat Malaysia mempunyai skor kredit yang baik/kukuh
• 21% menunjukkan skor kredit sederhana
• 10% berada pada kedudukan skor kredit yang lemah
• 56% golongan berusia 55 tahun ke atas mempunyai profil skor kredit yang kukuh











