SHAH ALAM – Kelicikan sindiket penipuan penjualan kenderaan menggunakan laman sesawang mudah.my sejak tiga tahun lalu berakhir apabila tiga suspek termasuk dalangnya diberkas dalam serbuan berasingan selama tiga hari bermula Khamis lalu.
Penahanan kesemua suspek berusia 23 hingga 26 tahun itu masing-masing dilakukan di Petaling Jaya dan Sungai Buloh.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Selangor, Asisten Komisioner Fazlisyam Abd. Majid berkata, modus operandi sindiket ini mencipta akaun penjual palsu di laman web tersebut dengan menyakinkan mangsa menggunakan nama sebuah syarikat penjualan kereta yang tidak lagi wujud.
Katanya, mangsa terbaru sindiket ini merupakan seorang pelakon lelaki tambahan berusia 50 tahun dengan menjual sebuah kereta terpakai jenis Toyota Vios tahun 2005 pada harga RM9,000.
“Mangsa telah memasukkan wang deposit RM1,000 ke dalam sebuah akaun yang diberikan sindiket itu namun suspek meminta pembayaran penuh susulan terdapat individu lain yang ingin membeli kenderaan tersebut.
“Sebaik mendapat jumlah wang keseluruhan, suspek kemudiannya menghilangkan diri sebelum mangsa menyedari telah ditipu sindiket itu,” katanya pada sidang akhbar sini hari ini.
Kosmo! difahamkan pelakon tambahan itu menggunakan simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi membeli kenderaan yang tidak wujud itu.
Jelas Fazlisyam, hasil siasatan awal turut mendapati ketua sindiket berusia 26 tahun bertanggungjawab menguruskan segala transaksi kemasukan wang yang diterima daripada semua mangsa.
Sementara, seorang ahlinya berusia 23 tahun dipercayai menjual akaunnya pada harga RM700 dan terlibat dengan penjualan nombor akaun sejak 2017 selepas terlibat dengan judi atas talian.
“Siasatan lanjut mendapati sindiket ini terlibat dalam tujuh kes termasuk sekitar Selangor, Perak, Terengganu, Johor Bahru dan Kuala Lumpur melibatkan kerugian RM24,500.
“Penipuan penjualan kenderaan melibatkan jenis seperti Honda, Toyota dan Perodua,” katanya.
Beliau menegaskan pihaknya juga merampas beberapa peralatan seperti komputer riba, telefon bimbit, komputer dan kad sim telefon.
“Kesemua suspek kini direman dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya. -K! ONLINE











