KUALA LUMPUR 12 Julai – Shell Malaysia kembali dengan kempen koleksi kereta Ferrari yang menawarkan lapan model Ferrari dan boleh didapati secara eksklusif di stesen minyak Shell di seluruh negara.
Kempen tersebut berlangsung dari 1 Julai hingga 8 September depan.
Pelanggan boleh mendapatkan model kereta tersebut pada harga RM15.90 setiap satu dengan pembelian minyak minimum RM30 dalam satu resit.
Pengarah Urusan Shell Malaysia Trading Sdn. Bhd. dan Shell Timur Sdn. Bhd., Shairan Huzani Husain berkata, model kereta Ferrari edisi terhad itu meraikan kerjasama teknikal yang telah lama terjalin antara Shell dan Scuderia Ferrari.
“Koleksi itu termasuklah Ferrari 488 Spider, Ferrari Daytona (Ferrari 365 GTB/4), 1957 Ferrari Testa Rossa, Ferrari 430 Scuderia, Ferrari 250 GTO, Ferrari 288 GTO, Ferrari F50 dan Ferrari SF71H,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Bagi melengkapkan koleksi tersebut, Shell Malaysia turut menawarkan model trak hauler edisi terhad yang dicat dengan warna merah signatur Ferrari. – BERNAMA











