KUALA LUMPUR – Datuk Shahrul Zaman Yahya kekal sebagai presiden Kesatuan Ragbi Malaysia (KRM) buat penggal kedua berturut-turut selepas dipilih semula pada Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) persatuan itu yang berlangsung di sini hari ini.
Walaupun dicabar hebat timbalannya sendiri, Tan Sri Abdul Halim Karim bagi merebut jawatan No. 1 badan induk ragbi negara itu, Shahrul Zaman yang merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rungkup dekat Bagan Datuk masih menjadi pilihan ahli gabungan apabila menang dengan jumlah undi 24-19.
Apa yang menarik, pemilihan kali ini berlangsung dalam suasana penuh kekeluargaan, telus dan harmoni tidak seperti beberapa badan induk sukan lain yang berdepan permainan kotor, kemelut berpanjangan dan saling memburukkan antara sesama calon.
Bagi perebutan jawatan timbalan presiden pula dimenangi Amir Amri Mohamad yang memperoleh 26 undi berbanding pencabarnya, Datuk Tamunif Mokhtar yang mendapat 17 undi. Amir merupakan naib presiden KRM sebelum ini tetapi memilih untuk bertanding jawatan timbalan.
Dua kerusi naib presiden pula diisi Mohamad Fahmy Abd. Jalil yang memperoleh 37 undi dan Mohd. Zaki Shahran yang memperoleh 27 undi untuk menewaskan Raimi Mohd. Yusof yang memperoleh 21 undi. UTUSAN ONLINE











