KUALA LUMPUR 9 Julai – Sentimen perniagaan dalam kalangan syarikat-syarikat Malaysia kembali pulih selepas merosot pada suku kedua 2019.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Dun & Bradstreet, Audrey Chia, Indeks Keyakinan Perniagaan (BOI) Malaysia meningkat kepada 7.22 mata peratusan pada suku ketiga tahun ini berbanding 5.61 mata peratusan suku sebelumnya.
Katanya, pada asas tahun ke tahun, indeks berkenaan menyederhana daripada 13.17 mata peratusan pada suku ketiga tahun lalu kepada 7.22 mata peratusan tahun ini.
Berita berkaitan:
“Bagi suku ketiga 2019, sektor perkilangan dan perkhidmatan paling optimis mengenai prospek manakala sektor pembinaan dan pengangkutan paling kurang optimistik.
“Sektor perkhidmatan muncul sebagai satu daripada sektor paling optimis dengan lima petunjuk dalam zon positif tetapi kebanyakan penunjuk menunjukkan trend menyederhana yang menurun.
“Tinjauan dalam sektor perkilangan bagaimanapun bertambah baik dengan lima indikator berada dalam zon positif untuk suku ketiga 2019,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Enam petunjuk di bawah kajian suku tahunan BOI termasuk jumlah jualan, keuntungan bersih, harga jualan, tahap inventori, pekerja dan pesanan baharu.
Chia berkata, empat daripada enam petunjuk iaitu pesanan baharu, harga jualan, tahap inventori dan tahap pekerja menunjukkan peningkatan daripada suku sama tahun sebelumnya.
“Petunjuk bagi harga jualan suku ketiga 2019 meningkat daripada 6.83 mata peratusan pada suku kedua kepada 9.17 mata peratusan manakala tempahan baharu meningkat daripada 10.24 mata peratusan kepada 25.83 mata peratusan.
“Tahap inventori dan pekerjaan masing-masing turut meningkat kepada lima mata peratusan dan 5.83 mata peratusan,” katanya.











