KHARTOUM 31 Julai – Pihak berkuasa Sudan mengarahkan penutupan sekolah di seluruh negara itu selepas sekumpulan pelajar mengadakan demonstrasi membantah pembunuhan lima pelajar sekolah dalam satu protes yang berlaku di Sudan.
Memetik laporan agensi berita SUNA, arahan penutupan sekolah itu dikeluarkan Majlis Pemerintahan Tentera kepada semua sekolah termasuk pendidikan awal, rendah dan menengah berkuat kuasa hari ini sehingga notis lanjut.
Bagi meredakan ketegangan, kerajaan turut mengumumkan perintah berkurung pada waktu malam bermula semalam di empat bandar di Utara Kordofan selepas kumpulan penunjuk perasaan utama, Persatuan Profesional Sudan menggesa kumpulan pelajar di seluruh negara untuk menyertai bantahan itu.
Dalam pada itu, Arab News melaporkan, kumpulan pelajar yang memakai baju seragam sekolah dan mengibarkan bendera Sudan itu turut melaungkan slogan ‘membunuh pelajar adalah umpama membunuh negara’ ketika tunjuk perasaan terbabit. -AGENSI











