DUNGUN – Salah seekor harimau yang berkeliaran di Kampung Besol Lama, Bukit Besi dekat sini kelmarin akhirnya berjaya ditangkap hari ini selepas hampir 28 jam operasi dijalankan Jabatan Perlindungan Haiwan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Terengganu.
Harimau jantan yang dianggarkan seberat 130 kilogram berkenaan berjaya ditangkap di kawasan belukar yang terletak kira-kira 500 meter dari jalan utama pada pukul 3.30 petang.
Pengarah Perhilitan Terengganu, Dr. Abdul Malek Mohd. Yusof berkata, harimau dari spesies Harimau Malaya yang dianggarkan berusia lima tahun itu telah dijumpai sedang berehat di lokasi tersebut sebelum ditembak dengan ubat pelali.
“Sebaik tidak sedarkan diri akibat ubat pelali terbabit, harimau jantan yang digelar ‘Awang Besol’ berkenaan telah diangkat memasuki sebuah lori oleh lapan anggota Perhilitan negeri.
“Haiwan tersebut akan dihantar ke Pusat Menyelamat Hidupan Liar di Sungkai, Perak bagi rawatan lanjut dan pemuliharaan,” katanya kepada Kosmo! Online di sini ahri ini
Abdul Malek memberitahu, gerakan untuk memburu seekor lagi harimau yang didakwa turut berkeliaran di perkampungan tersebut sejak pukul 9 pagi kelmarin akan diteruskan selepas ini. – K! ONLINE











