KUALA LUMPUR 7 Julai – Ketua AMK Santubong, Haziq Abdullah Abdul Aziz akan mengemukakan rayuan kepada Lembaga Disiplin PKR selepas dipecat parti itu, Rabu lalu.
Haziq berkata, dia menghormati keputusan yang dibuat oleh parti tetapi akan membuat rayuan berkenaan tidak lama lagi.
“Saya dihukum hanya kerana saya menggesa pihak SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) menyiasat tuduhan-tuduhan korupsi yang dilemparkan terhadap Datuk Seri MohamedAzmin Ali (Menteri Hal Ehwal Ekonomi). Bukannya saya menuduh Datuk Seri Mohamed Azmin korup tanpa bukti.
“Saya hanya menggesa supaya disiasat tuduhan-tuduhan tersebut kerana rakyat berhak mengetahui perkara yang benar,” katanya dalam hantaran terbaharu akaun Facebook miliknya malam tadi.
Haziq dipecat daripada PKR kerana didapati melanggar kod tataetika parti itu.
Pengerusi Lembaga Disiplin PKR, Ahmad Kasshim berkata, Haziq telah membuat tuduhan rasuah secara terbuka terhadap pemimpin parti tanpa bukti.
Haziq menambah, namun demikian, dia sentiasa hormat dengan prosedur yang diambil oleh parti sebelum menjatuhkan hukum
“Ini kerana saya yakin PKR adalah parti yang mengamalkan prinsip ‘Rule of Law’ dan ‘fair hearing’,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE











