TIDAK hanya ‘menjual’ hero kacak dan heroin cantik malah produksi drama Korea selalu membuat penonton terpegun dengan set rumah serba mewah.
Ditambah, suasana di luar rumah itu serta dekorasi dalaman luar biasa dan menakjubkan!
Realitinya, deretan set ini bukanlah rumah sebenar. Tetapi, antaranya adalah sebuah pusat latihan, hotel, taman botani, dewan perkahwinan dan lokasi percutian presiden.

The Rivendell Prestige
Peminat siri Uncontrollably Fond (2016) tentu kenal sangat dengan rumah ini. Sebenarnya ia sebuah resort percutian yang menjadi rumah watak utamanya Shin Joon-young (lakonan Kim Woo-bin).
Nama resort ini diilhamkan sempena nama tempat tinggal spesis Elf dalam filem sekuel The Lord of the Rings. Selain, drama Seven First Kisses (2017) dan Beauty Inside (2018) menjadikan resort sebagai set rumah.

‘Rumah’ Goblin
Bangunan Unhyeongung Western House ini menjadi latar kediaman Kim Shin (lakonan Gong Yoo) dan Lee Dong Wook (watak Grim Reaper) dalam drama Goblin.
Ia juga pernah muncul sebagai rumah Putera Lee Shin (lakonan Ju Ji-hoon) dan Shin Chae Kyung (lakonan Yoon Eun-hye) dalam siri Princess Hours (2006).
Terletak di Universiti Wanita Duksung, di Seoul, bangunan kerajaan yang di inspirasi daripada rekaan di zaman Renaissance itu dibina ketika zaman pemerintahan Jepun sekitar tahun 1911-1912. Kemudian ia dijual kepada pihak universiti sejak 1948.
Impak fenomena Goblin, kawasan ini sering dilawati pengunjung hinggakan pihak universiti terpaksa memperketatkan peraturan kerana kunjungan mereka secara tidak langsung mengganggu kehidupan pelajar di kampus.
Maiim Vision Village
Kalau sebut rumah Hyun Bin dalam Secret Garden pasti mengingatkan penonton pada sebuah villa mewah di tengah hutan dinamakan Maiim Vision Village.
Rekaan bangunan itu sesuai dengan karakter Kim Joo Won (lakonan Hyun Bin) yang digambarkan menghidap claustrophobia (ketakutan di tempat tertutup).
Lokasi ini juga pernah dijadikan rumah Park Seo Joon dalam What’s Wrong With Secretary Kim dan rumah percutian watak Lee Min Hyung (lakonan Be Yong Joon) dalam siri nostalgia fenomena, Winter Sonata.
Ia sebenarnya sebuah pusat komunikasi dan institusi latihan syarikat Maiim Group yang terkenal dengan perusahaan produk kosmetik makanan sihat.
Terletak di Youju, Gyeonggi dengan keluasan 330,000 meter persegi, untuk ke sini mengambil masa sekitar tiga jam perjalanan dari Seoul dengan menggunakan pengangkutan awam.
Kawasan ini pernah dibuka untuk umum selepas drama Secret Garden meraih populariti dan menjadi antara drama yang mendapat rating tertinggi pada tahun itu.

The Hill House
Bangunan cantik ini pernah menjadi latar rumah keluarga Kim Tan (lakonan Lee Min Ho) dalam The Heirs dan rumah keluarga Lee Young Joon (lakonan Park Seo Joon) dalam What’s Wrong With Secretary Kim.
Dibina pada 1990, bangunan hotel antik mewah ini mempunyai dua buah blok, lima restoran dan taman khas untuk majlis perkahwinan dalam taman. Terletak di Gangnam kira-kira satu jam 50 minit dari Seoul, bangunan ini juga pernah dipaparkan dalam siri Hide and Seek (2018) dan Cantabile Tomorrow (2014).

Villa presiden
Bangunan ini dijadikan kediaman keluarga Young Shin (lakonan Park Min Young) dalam Healer yang turut dibintangi aktor Ji Chang Wook.
Cheongnamdae Presidential Villa sebenarnya adalah tempat persinggahan kegemaran para presiden Korea menghabiskan bercuti setiap kali musim panas.
Terletak di Cheongnamdae-gil, daerah Chungcheongbuk. ia dibina pada 1983 atas inisiatif presiden Chun Doo Hwan dan dibuka untuk umum pada 2003.
Ia juga pernah muncul dalam Becoming a Billionaire (2010), Golden Fish (2010), King of Baking, Kim Tak Goo (2009-10), IRIS (2009), Cain and Abel (2009) dan Boys Over Flowers (2009).

The Greem
Lebih 20 buah drama pernah menjadikan taman botani ini sebagai latar rumah untuk watak orang kaya. Antaranya My Husband Got A Family (2012), Rooftop Prince (2012), Doctor Stranger (2014), Birth of Beauty (2014-2015) dan Goodbye Mr. Black (2016).
Diwujudkan sejak 1996, taman botani berkonsep taman terapi dan beriadah ini terletak di Yongcheonri, di daerah Gyeonggi, kira-kira satu jam perjalanan dari Seoul.











