KUANTAN – Padah mendedahkan kata laluan perbankan online kepada individu tidak dikenali, seorang setiausaha kerugian RM30,700 selepas diperdaya polis palsu ketika kejadian semalam.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Superintendan Mohd. Wazir Mohd. Yusof berkata, wanita berusia 55 tahun itu dihubungi seorang perempuan yang menyamar pegawai mahkamah.
Menurut beliau, mangsa diminta hadir ke mahkamah di Melaka kononnya bersangkutan kes kad kredit dan seterusnya talian disambung kepada seorang lelaki menyamar inspektor polis.
“Suspek itu meminta mangsa menyerahkan butiran perbankan online, termasuk nama pengguna dan kata laluan akaun bank.
“Mangsa juga menyerahkan kod pengesahan transaksi (TAC) kepada suspek pada setiap kali wang dipindahkan ke akaun milik orang lain,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Ujar beliau lagi, mangsa membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan sejurus menyedari tertipu selepas dimaklumkan rakannya. – K! ONLINE











