PERTH – Manchester United meletakkan harga 180 juta pound (RM930.16 juta) bagi mana-mana kelab yang berminat untuk mendapatkan Paul Pogba.
Difahamkan, United berang dengan tindakan ejen pemain itu, Mino Raiola yang secara terbuka mendedahkan juara dunia itu mahu meninggalkan Old Trafford selepas tiga musim.
Red Devils pada mulanya meletakkan harga 150 juta pound (RM775.13 juta) ke atas Pogba yang sebelum ini bernilai 89 juta pound (RM459.91) semasa dia di bawa masuk dari Juventus pada 2016.
Sekiranya Real Madrid atau Juventus mahu mendapatkan Pogba pada musim panas ini, mereka perlu berbelanja 180 juta pound (RM930.16 juta), dua kali ganda daripada nilai yang dikeluarkan United, tiga tahun lalu.
Sumber dalaman kelab mendedahkan bahawa United memberi bayangan yang Pogba tidak akan dijual kerana ia akan memberi kesan buruk kepada pasaran perpindahan kali ini.
Pengendali United, Ole Gunnar Solskjaer memuji sikap profesional Pogba dan menegaskan pemain itu tidak memberikan sebarang masalah kepada dirinya walaupun dia berminat untuk mencari cabaran baharu.
Walaupun Pogba mahu meninggalkan kelab itu, namun sehingga kini United masih belum menerima sebarang bidaan daripada mana-mana kelab.-AGENSI











