PUTRAJAYA 12 Julai – Sebanyak RM925 juta dana berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dikembalikan setakat ini kepada Kementerian Kewangan hasil usaha pihak berkuasa negara ini.
Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, pihak berkuasa negara ini dengan kerjasama pihak berkuasa luar negara sedang meneruskan usaha agar dana yang diselewengkan dapat dikembalikan untuk membayar balik hutang 1MDB berjumlah lebih RM51 bilion.
Tambahnya, ini termasuk faedah pinjaman akan datang yang dijamin oleh Kerajaan Persekutuan.
“Setakat ini, jumlah keseluruhan dana berkaitan 1MDB yang berjaya didapatkan kembali adalah berjumlah RM925.1 juta termasuk RM6.1 juta yang dipulangkan kepada Yayasan 1MDB, dalam mata wang pelbagai denominasi.
“Berdasarkan pecahan itu, RM92.3 juta datang dari Singapura, Amerika Syarikat (RM805.8 juta) dan Malaysia (RM27 juta),” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Dalam pada itu, Guan Eng memberitahu, dana RM925 juta itu tidak termasuk hasil jualan Kapal Equanimity kepada Genting Malaysia Bhd. sebanyak AS$126 juta atau kira-kira RM527.4 juta.
Sebaliknya, hasil jualan tersebut telah diterima sepenuhnya pada 23 April lalu dan kini disimpan di dalam Sheriff’s Stakeholder Account dalam sebuah syarikat guaman terkemuka di Malaysia untuk tempoh tiga bulan.
Beliau berkata, langkah itu adalah bagi tujuan penyesuaian dengan tuntutan perbelanjaan penyelenggaraan kapal yang akan ditentukan melalui perintah mahkamah.
“Baki hasil jualan setelah ditolak jumlah perbelanjaan yang terlibat dijangka akan didepositkan ke dalam ‘recovery account’ milik 1MDB atau Kementerian Kewangan pada bulan Ogos depan.
“Bila diterima AS$126 juta ini kelak, wang dana ini akan digunakan untuk melunaskan sebahagian daripada hutang 1MDB,” katanya.
Dalam isu berkaitan, Guan Eng menjelaskan, jumlah RM6.1 juta yang diterima kembali oleh Yayasan 1MDB adalah daripada pelbagai pihak namun pihak yayasan masih belum menerima sebarang bayaran daripada Koperasi Jayadiri Malaysia Berhad (Kojadi). – UTUSAN ONLINE











