RM500,000 naik taraf R&R Pandan, beroperasi semula Januari ini - Utusan Malaysia

RM500,000 naik taraf R&R Pandan, beroperasi semula Januari ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU 18 Julai – Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Pandan di sini yang ditutup pada hujung 2017 sedang dinaik taraf kemudahannya dengan kos RM500,000 dan dijadual beroperasi semula pada Januari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur negeri, Mohd Solihan Badri berkata, kawasan rehat yang berkeluasan kira-kira 5.6 hektar itu sedang menjalani kerja-kerja membaik pulih dan menambah fasilitinya.

“R&R ini kalau dulu memang kawasan berehat bagi Lebuhraya Peruraian Timur (EDL) semasa masih lagi bertol. Jadi bila tol ditamatkan, semuanya diserahkan kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) oleh pemaju.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Selepas diserahkan kepada JKR pada penghujung 2017, ia dibiarkan begini (terbiar) kerana kekurangan dana untuk diselenggara. Jadi sekarang kita rasa sudah tiba masanya untuk dibuka,” katanya ketika ditemui pemberita semasa melawat R&R berkenaan sebentar tadi.

Menurut Solihan berkata, pembukaan semula R&R itu bertujuan membantu para usahawan negeri ini mempunyai ruang niaga yang selesa.

Kerajaan negeri katanya, akan sediakan satu tender terbuka untuk peniaga yang berminat mengusahakan kawasan tersebut yang mempunyai banyak fasiliti antaranya gerai, surau dan tandas.

Beliau memberitahu, penambahbaikan fasiliti berkenaan juga adalah persediaan kerajaan negeri sebelum menjelang Tahun Melawat Johor kelak.

Jelasnya, langkah itu untuk memberi keselesaan kepada semua pengguna jalan dan pada masa sama kemudahan tersebut sudah ada tetapi dibiarkan kosong sebelum ini.

“kita tidak mahu kenderaan lalu-lalang dan bangunan yang ada (Kawasan Rehat dan Rawat Pandan) kosong sahaja seperti ini. Jika mengikut perancangan kawasan ini memang mempunyai potensi.

“Macam sekarang boleh kata setiap hari ada dalam 400 kenderaan akan masuk kerana mahu memperbaharui permit masuk kenderaan (VEP) di khemah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang dibuka di sini. Jadi sekiranya ada kedai-kedai dan fasiliti lain yang dibuka, jumlah pengunjung mungkin akan bertambah,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini