GOMBAK – Seramai 10 lelaki ditahan susulan insiden pergaduhan di sebuah premis menjual minuman keras di sekitar Batu Caves di sini pada Isnin lalu.
Difahamkan, insiden berkenaan berlaku selepas perselisihan faham membabitkan sepasang suami isteri dan pekerja di premis berkenaan berhubung resit pembelian minuman keras.
Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Samsor Maarof berkata, kejadian berlaku pada pukul 8.30 malam dimana pasangan terbabit hadir ke premis berkenaan untuk membeli minuman keras.
“Bagaimanapun, ketika ingin membuat bayaran, isterinya telah meminta resit cetakan komputer namun pekerja terbabit tidak dapat memberinya atas masalah teknikal.
“Pekerja terbabit hanya memberi resit tangan menyebabkan berlaku kekecohan selepas wanita terbabit mendakwa telah ditampar seorang lelaki yang tidak dikenali pada pipi kiri,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Tambahnya, suami wanita terbabit kemudian meminta bantuan orang awam yang lalu-lalang di kawasan itu sebelum berlaku pergaduhan antara lelaki tersebut dengan pekerja premis minuman keras berkenaan.
“Susulan pergaduhan itu, kita menahan lapan lelaki warga India dan dua lelaki tempatan, termasuk suami wanita terbabit bagi membantu siasatan.
“Siasatan lanjut mendapati suami wanita terbabit memiliki tiga rekod lampau berkaitan jenayah dan satu rekod dadah selain masih dikehendaki polis berkaitan satu kes jenayah pada 2017,” jelasnya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan dan semua tangkapan direman sehingga hari ini. – K! ONLINE











