IPOH – Seorang remaja lelaki dan kakak iparnya maut selepas kereta yang dinaiki mereka bertembung dengan sebuah lori tangki di Jalan Keramat Pulai, Simpang Pulai di sini, petang tadi.
Dalam kejadian kira-kira pada pukul 3.10 petang itu, remaja tersebut, Muhamad Ashraf Shamsor, 19, meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini manakala kakak iparnya, Nur Al Ashiqin Abdul Kadir, 38, meninggal dunia di tempat kejadian.
Abang kepada remaja tersebut berusia 27 tahun yang memandu kereta jenis Perodua Viva pula mengalami kecederaan parah dan dia kini sedang dirawat di hospital sama.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Mohd. Ali Tamby berkata, siasatan awal mendapati kereta dinaiki tiga sekeluarga itu sedang dalam perjalanan dari arah Ipoh menghala ke Cameron Highlands.
“Tiba di tempat kejadian, kereta dipandu lelaki berusia 27 tahun itu dipercayai cuba memotong sebuah kenderaan lain namun hilang kawalan sebelum melanggar sebuah lori tangki muatan diesel di laluan bertentangan.
“Akibat kemalangan itu, ketiga-tiga mereka mengalami kecederaan parah namun wanita yang berada di tempat duduk penumpang hadapan maut di tempat kejadian,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Online sebentar tadi.
Tambah Mohd. Ali, pemandu lori berusia 27 tahun pula tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. – K! ONLINE











