MUKADIMAH
APA ada pada ranking? Dalam keghairahan institusi pengajian tinggi mengejar ranking di peringkat dunia, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) mengambil pendirian tidak memasuki ‘gelanggang’ persaingan itu kerana merasakan tidak selari dengan maksud dan falsafah mereka yang mengutamakan pendidikan lebih berteraskan Islamik.
Bagi Rektor UIAM, PROFESOR TAN SRI DR. DZULKIFLI ABDUL RAZAK yang sudah setahun mentadbir di situ, pihaknya meletakkan tanda aras sendiri sekali gus mampu meletakkan mereka sebagai universiti yang unik dan unggul serta mempunyai wawasan berbeza berbanding universiti lain.
“Kita sebagai universiti Islam mesti peka dengan nilai yang dibawa. Kalau masuk pertandingan yang kita rasa tidak ada nilai dan etika, ia akan mencemari falsafah dan keberadaan universiti,” tegas beliau dalam wawancara bersama wartawan Utusan Malaysia, ZABRY MOHAMAD MADZLAN dan MAISARAH SHEIKH RAHIM serta jurugambar, DJOHAN SHAHRIN SHAH di pejabatnya di Gombak, Selangor, baru-baru ini.
SETAHUN pentadbiran saya di sini, saya merasakan pergerakannya begitu pantas. Dalam tempoh itu, kita berjaya merangka perancangan untuk memajukan universiti ini bagi tahun ini dan 2020. Kita mahu meletakkan UIAM sebagai universiti yang unik dan unggul serta mempunyai wawasan berbeza daripada universiti lain berasaskan kepada falsafah membawa wadah pendidikan bersifat Islam dan antarabangsa.
AGENDA BARAT?
Bagaimana ukuran untuk melihat kecemerlangan universiti adalah lebih kepada impaknya. Kalau kita tengok pengertian ranking seperti yang ada sekarang, kriterianya ditetapkan oleh orang lain khususnya dunia Barat yang mempunyai syarikat-syarikat tertentu misalnya QS (Quacquarelli Symonds). Kriteria ranking universiti yang ditetapkan mereka berbeza dengan falsafah universiti ini dan ia tidak sesuai. Kalau bercakap dari segi kriteria pengantarabangsaan, mereka mengukur dari sudut pertukaran antara dua negara sahaja sedangkan kita meletakkan falsafah rahmatan lil alamin. Jika kita memasuki ‘gelanggang’ ini, ia sekali gus sudah mengetepikan maksud dan falsafah UIAM sendiri.
Dari sudut kriteria penerbitan pula, mereka hanya bercakap tentang penerbitan yang diiktiraf oleh mereka, sedangkan penerbitan UIAM mengambil kira semua yang mungkin dirasakan tidak penting bagi mereka. Jadi jika kita masuk dalam arena begitu, ia tidak sesuai. Seperti kalau kita nak main ragbi tetapi peraturan untuk mengukurnya mengguna pakai peraturan bola sepak. Memang tidak menanglah kita atau akan tersisih daripada apa yang kita lakukan. Oleh itu, kita mengambil keputusan, siapa yang nak masuk ranking ini, ‘jalanlah’. Tetapi bagi UIAM, kita meletakkan tanda aras sendiri. Misalnya dalam soal pendidikan Islam, demi melahirkan manusia yang seimbang iaitu insan kamil dan bukannya modal insan. Ia satu konsep yang cukup berbeza kerana modal insan hanya bercakap tentang ekonomi sedangkan soal sahsiah, akidah atau akhlaknya tidak begitu dipentingkan.
Jadi kita mengambil tanda aras berbeza bersandarkan kepada empat nilai teras tadi iaitu khalifah, iqra’, amanah dan rahmatan lil alamin.
Nilai kecemerlangan diukur dari segi impaknya apabila setiap pelajar yang balik ke negara mereka boleh memberikan sumbangan bukan sahaja kepada dirinya tetapi merubah sebuah masyarakat dan negaranya. Perkara itu diakui Rektor Universiti Sarajevo, Bosnia Herzegovina yang memberitahu kepada saya, jika anak-anak mereka tidak datang belajar ke Malaysia khususnya di UIAM, negara tersebut tidak mungkin wujud seperti sekarang. Ia sekali gus menunjukkan bahawa kita sudah berjaya dari segi impaknya. Tiada satu universiti pun yang boleh menukar sesebuah negara seperti Bosnia Herzegovina. Mungkin universiti itu kedudukannya nombor satu mengikut ranking QS tetapi tidak ada impak yang dilakukan kepada sebuah negara. Walaupun UIAM bukan ranking nombor satu, tapi kesan pendidikan UIAM sudah boleh menukar sebuah peradaban negara.
Ya, betul sistem ranking ini hanya sistem kebaratan. Tapi sebenarnya yang lebih penting adalah keuntungan yang mereka dapat. Saya tahu kalau nak masuk sistem tersebut, kita kena menaja itu dan ini. Secara tidak langsung, kita perlu melabur dalam aktiviti mereka dan ini menjadi sumber keuntungan mereka. Kalau universiti tidak melabur, kemungkinan universiti tidak akan dapat ranking yang tinggi. Sudah ada kaitan antara kajian pelaburan yang dimaksudkan dengan kedudukan universiti iaitu bukan 100 peratus bermatlamatkan pendidikan, ilmiah atau akademik tetapi ada unsur-unsur perniagaan dan komersial. QS ini adalah syarikat komersial. Ia hanya memenuhi agenda tertentu yang tidak sama dengan agenda kita, malah kadang-kadang agenda kita pula tersisih. Dalam hal ini, UIAM cukup jelas. Apa yang kita nak buat ialah meletakkan tanda aras baharu yang membolehkan sebuah universiti Islam berpegang bagi menunjukkan keberadaannya dalam sistem pendidikan di seluruh dunia. Kita sebagai universiti Islam mesti peka dengan nilai yang dibawa. Kalau masuk pertandingan yang kita rasa tidak ada nilai dan etika, ia akan mencemari falsafah dan keberadaan universiti.
SERAGAM ISLAM, DUNIA
Kalau kita bercakap tentang universiti Islam, kongkongan minda kita hanya berkait dengan Islam. Di luar konteks itu, kita persoalkan ia tidak ada kena mengena atau kita labelkan terus sebagai agenda kafir. Ini yang sekarang sedang kita lakukan untuk mendidik semula bahawa agenda Islam dan dunia itu kebanyakannya seragam. Jika tidak ada keseragaman, menjadi tugas kita menyeragamkannya. Misalnya soal hak asasi manusia, definisi mereka dan kita tidak sama. Oleh itu, kita perlu seragamkan. Kalau kita biarkan sahaja oleh kerana mereka lebih lantang, maka kita akan lebih tercicir. Ini salah satu perjuangan ilmiah untuk menentukan keseragaman kefahaman. Ini boleh kita lakukan di peringkat antarabangsa dan kita boleh juga menjadi salah satu penaja idea baharu.
PELOPOR AUTONOMI
Sebaik sahaja dilantik sebagai rektor, saya meletakkan prasyarat untuk memperoleh kuasa autonomi dan kebebasan membuat keputusan tanpa dikongkong, disekat atau mengikut telunjuk sesiapa. Dalam tempoh setahun pentadbiran saya, hampir tiada langsung campur tangan dari segi politik atau menerima arahan tertentu.
Jadi saya mahu ia turut diamalkan oleh pelajar di sini supaya dapat menjalankan tugas dan amanah yang menuntut untuk berkata benar. Bermakna kalau sesuatu benda itu tidak bagus, berterus terang sahajalah. Tidak perlu nak disorok atau memperelokkannya hanya kerana mahu bercakap dengan orang yang lebih tinggi daripada kita. Jika ini berlaku, ia tidak akan menyelesaikan masalah.
Perbincangan dan perdebatan digalakkan dalam kalangan pelajar asalkan ia berpegang kepada amanah yang diberikan kepada mereka. Di UIAM, pejabat hal ehwal pelajar dinamakan Pejabat Pembangunan Pelajar dan Libat Sama Masyarakat yang mana penumpuannya untuk membangunkan pelajar dari segi pemikiran, akhlak serta budaya. Kesemua nilai ini disesuaikan dengan masyarakat sekitar. Masyarakat yang akan menentukan mereka itu berjaya atau tidak, bukan setakat memegang ijazah sahaja tetapi bagaimana sumbangan, bakti serta interaksi dengan masyarakat menjadi penilaian yang besar.
Langkah itu bersesuaian dengan lagu dan moto UIAM, Leading the Ways. UIAM mendahului apa sahaja berteraskan empat perkara iaitu pertama, bertindak sebagai khalifah. Sebagai pemimpin, patut berusaha untuk menyelaras atau memperbetulkan sesuatu dan mempunyai kefahaman tentang Islam.
Kedua, soal amanah. Kemudian budaya iqra’ iaitu menghidupkan budaya membaca, mentelaah, berdebat, bertukar fikiran, mengembangkan minda. Semua ini sebahagian daripada iqra’. Yang terakhir ialah konsep rahmatan lil ‘alamin. Kita tidak bercakap tentang Gombak atau peringkat Malaysia sahaja tapi menitikberatkan soal bagaimana membentuk individu Muslim yang boleh mensejahterakan alam semester merentasi kaum, agama, budaya serta politik. Perkara ini berbeza dengan universiti lain kerana soal antarabangsa tidak hanya diukur dari sudut hubungan antara dua negara tetapi menjangkau seluruh alam semesta.
Jika bercakap soal perdebatan politik, UIAM hanya membenarkan perbincangan tentang politik matang, bukannya politik yang mengaibkan orang atau menyalahi amanah. Ini sebahagian daripada unsur pendidikan kerana kita tidak boleh hidup dalam dunia tanpa politik tetapi bukan politik sempit sehingga boleh meruntuhkan budaya dan tamadun yang ada. Pelajar bebas berdebat tetapi mereka perlu bertanggungjawab. Isi perdebatan mesti ada nilai akademik dan ilmiah untuk menyokong pendapat dia. Bukan hanya tahu melontar pendapat tetapi tidak bertanggungjawab atas apa yang kita katakan. Ini antara adab ilmu yang kita nak bawa masuk untuk mendidik pelajar.
USAH TAKUT KE DEPAN
Inilah yang saya minta ubah sebab di UIAM, kita tidak mengutamakan petunjuk prestasi utama (KPI) kerana KPI seolah-olah menjadikan pensyarah dan pelajar kita lebih berwaspada. Kalau dia menyalahi KPI, dia nanti tidak diberi markah. Jadi kita terbuka. Saya kata setiap daripada kita mempunyai peranan public intelectual iaitu ada tanggungjawab untuk memberi pandangan, hujah atau apa sahaja isu yang boleh kita selesaikan menggunakan hujah akademik yang ada bukti kukuh, bukan setakat pandangan atau emosi. Saya menggalakkan mereka menulis di akhbar atau majalah yang orang lain boleh baca supaya dapat mendidik orang awam. Bukan hanya menulis untuk jurnal yang mungkin tidak sampai tiga atau empat kerat pembaca.
Bagaimanapun dalam hal ini, mereka perlu ada keberanian untuk menonjolkan pendapat jika sesuatu pendapat itu akan dibidas orang. Kalau tidak ada keberanian itu, kita akan menyepi. Kefahaman yang perlu diketahui orang luar khususnya orang Melayu yang banyak tidak membaca buka berbahasa Inggeris. Jadi mereka makin lama makin ke tepi kerana kita tidak ada dalam arus perdana. Dan orang yang menulis ini perlu diberi pengiktirafan supaya dijadikan budaya yang bukan sahaja tahu bercakap, tetapi juga menulis dan berdebat dari segi penulisan.
Ini perubahan yang kita nak bawa supaya apa sahaja isu, orang akan rujuk UIAM kerana mereka tahu ada kepakaran di sini dan mereka boleh yakin dengan apa yang kita cakapkan sebagai satu bentuk penyelesaian.

Atom: Bapa Dzulkifli di Hiroshima terselamat
MENAKJUBKAN!
Datuk Abdul Razak Abdul Hamid iaitu bapa kepada Rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Profesor Tan Sri Dr. Dzulkifli adalah satu-satunya rakyat Malaysia yang terselamat dalam letupan bom atom di Hiroshima, Jepun pada 6 Ogos 1945.
Ketika kejadian, Abdul Razak yang juga dikenali sebagai Cikgu Razak berada di dalam bilik kuliah di Universiti Hiroshima. Dia yang berusia 19 tahun bagaimanapun hanya pengsan dan terselamat di sebalik runtuhan bangunan. Lebih memeranjatkan para saintis dan doktor di Jepun yang memeriksanya, tiada langsung kesan radiasi pada tubuh badan Abdul Razak.
Abdul Razak meninggal dunia pada 18 Julai 2013 semasa berusia 88 tahun.
Pengalaman Abdul Razak dalam kejadian itu turut diabadikan dalam sebuah buku bertajuk Debu Hiroshima terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka pada 1987.
Tidak perlu telefon bimbit
MACAM tidak percaya.
Hampir setiap orang memiliki telefon bimbit yang dibawa ke sana sini setiap masa. Nak makan, ke tandas, pergi kerja, beriadah dan hampir semua aktiviti, kita tidak lekang dengan gajet itu.
Walau bagaimanapun, berbeza dengan Rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Profesor Tan Sri Dr. Dzulkifli Abdul Razak, beliau tidak mempunyai telefon bimbit!
Baginya, telefon sama ada di pejabat atau rumah sudah cukup untuk sebarang komunikasi rasmi mahupun peribadi. Sesiapa nak bercakap dengannya, boleh hubungi pembantu peribadi atau telefon rumah. Lagipun e-mel boleh juga digunakan sebagai penghubung. Beliau tidak mahu dengan adanya telefon bimbit akan mewujudkan budaya ‘berborak’ yang mana banyak membuang masa terutama waktu kerja yang terhad dan ada urusan-urusan lain.
Selain itu, tiada dokumentasi sebagai bukti sekiranya beliau terpaksa membuat keputusan penting atau kontroversi menerusi telefon bimbit. E-mel lebih baik kerana ada dokumentasi yang boleh dirujuk jika perlu. Telefon bimbit juga boleh disalahgunakan untuk memaksa keputusan tertentu secara individu atau kelompok yang tidak menguntungkan pendidikan atau mempunyai kepentingan peribadi.
Ia juga sebagai ingatan kepada pelajar dan kakitangan universiti bahawa rektor tidak memerlukan telefon bimbit untuk urusan rasmi. Justeru, beliau tidak mahu mereka terlalu taksub dengan gajet berkenaan hingga boleh membawa kepada ketagihan.











