LUMPUR 21 Julai – Pasukan Proton R3 menguasai Pusingan 3 Siri Kejuaraan Malaysia (MCS) 2019 dengan merangkul kemenangan dua kali termasuk mendapat tempat podium dengan menamatkan 1-2-3 dalam perlumbaan kedua.
Pengetua Pasukan PROTON R3, Gary Lee berkata, perlumbaan diadakan di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) pada hujung minggu lalu, dengan setiap perlumbaan dijalankan selama satu jam yang menguji ketahanan kereta serta pemandu dan akhirnya membuktikan sekali lagi bahawa R3 adalah pasukan paling menonjol dalam kelas M-Pengeluaran.
Katanya, permulaan perlumbaan pada hujung minggu lalu tidak berpihak pada pasukan R3 kerana sesi kelayakan tidak seperti dirancang.
“Proton Suprima S yang dipandu oleh Mitchell Cheah layak di pole position tetapi rakan sepasukannya Fariqe Hairuman dan Syafiq Ali yang memandu Proton Iriz dan James Veerapen dalam Proton Saga hanya berjaya mendapat tempat keempat dan kelima pada grid permulaan di mana mereka terus berusaha mengawal pengendalian sempurna.
“Semasa perlumbaan, Proton Suprima S yang dipandu oleh Mitchell menguasai perlumbaan itu dan mengambil bendera untuk memberi R3 satu lagi kemenangan kelas M-Pengeluaran dalam kejuaraan 2019,” katanya dalam kenyataan di sini.
Dua lagi kereta R3 mengakhiri perlumbaan di tempat keempat dan kelima, membuatkan pasukan itu perlu berusaha dengan lebih keras bagi mencapai kemenangan seterusnya pada hujung minggu itu.
Perlumbaan kedua diadakan pada Ahad dan dengan kedudukan permulaan berdasarkan pada kedudukan penamat daripada perlumbaan pertama, ketiga-tiga kereta lumba Proton R3 bermula pada kedudukan pertama, keempat dan kelima.
Walau bagaimanapun, apabila lampu mula dinyalakan, ketiga-tiga kereta tersebut dengan pantas mendahului di mana prestasi unggul pada Proton Suprima S, Iriz dan Saga memberikan pasukannya satu perlumbaan yang tidak dapat ditandingi.
Dengan menguasai perlumbaan kedua, R3 mengambil peluang sendiri untuk memaksimumkan mata yang dikumpul oleh pasukan mereka yang mendahului. Oleh itu, pada perlumbaan itu, Proton Iriz yang dipandu Fariqe dan Syafiq yang pertama tiba di garisan penamat diikuti Mitchell dengan Proton Suprima S dan James di dalam Proton Saga.
Ia adalah kali pertama R3 menamatkan perlumbaan di kedudukan tiga teratas dan keputusannya meninggalkan Fariqe dan Syafiq hanya dua mata di belakang pemenang kejuaraan terkini untuk kelas M-Pengeluaran dalam Siri Kejuaraan Malaysia 2019.
Pada 15 tahun lalu, Pasukan Proton R3 telah menyokong dan mengambil bahagian dan memenangi beberapa acara sukan bermotor yang paling berprestij di Malaysia dan di seluruh rantau ini.
Acara utama termasuk kemenangan keseluruhan pada acara Merdeka Millennium Endurance pada 2005 dan 2006 serta empat kemenangan perlumbaan S1K pada 2012, 2014, 2017 dan tahun lepas, 2018.











