KUALA LUMPUR 13 Julai – Pendekatan ‘soft landing’ yang dilaksanakan oleh Kementerian Pengangkutan terhadap penguatkuasaan peraturan perkhidmatan e-hailing hanyalah penyelesaian bersifat sementara sahaja.
Presiden Gerakan, Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai berkata, selepas mendapat Lesen Kenderaan Pengangkutan Awam (PSV), masalah terbesar dihadapi pemandu e-hailing adalah tempoh menunggu yang lama bagi mendapatkan nombor e-hailing Vehicle Permit (eVP) yang dikeluarkan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) untuk mendapatkan kebenaran bergerak di jalan raya.
“Mereka juga perlu membeli insurans harian. Tetapi sekarang prosedur mengeluarkan eVP sangat lambat. Saya diberitahu oleh pemandu, ada yang telah mendapat lesen PSV sebulan lalu, tetapi mereka masih belum mendapat nombor EVP,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Pemandu e-hailing yang masih belum mematuhi syarat ditetapkan untuk perkhidmatan itu dibenarkan meneruskan operasi mereka selama tiga bulan lagi bermula semalam.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, kerajaan telah memutuskan agar penguatkuasaan peraturan perkhidmatan e-hailing itu dilaksanakan melalui pendekatan soft landing.
Dalam pada itu, Dominic berharap pihak kementerian dapat memberikan perhatian serius terhadap amalan rasuah yang telah merebak dalam peperiksaan lesen PSV di negara ini.
“Kita juga berharap Menteri Pengangkutan dapat memberikan perhatian terhadap masalah yang dihadapi oleh pemandu seperti dirompak, diserang, atau menjadi mangsa jenayah di tempat kerja.
“Sebagai contoh, selepas tempoh tiga bulan nanti, keadaan ini akan menyebabkan ketidakpuasan hati dalam kalangan pemandu teksi dan mungkin menyebabkan protes berlaku,” ujarnya. -UTUSAN ONLINE











