KUALA LUMPUR – Kelewatan kerja-kerja naik taraf di Taman Tasik Sri Rampai berpunca daripada keadaan tanah tidak stabil sehingga menyebabkan sebahagian tembok dinding yang baharu dibina beralih dari kedudukan lokasi asal.
Pengarah Jabatan Perancangan Korporat Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) Norhaslinda Nordin berkata, kawasan yang terjejas itu tidak termasuk dalam lingkungan kerja penyiasatan tanah asal sebelum kerja pembinaan dijalankan.
“Sehubungan itu, satu kerja penyiasatan tanah yang baharu telah dijalankan di kawasan terjejas bagi mengatasi masalah berkenaan.
“Bagaimanapun, proses ini mengambil masa kerana perlu melalui prosedur piawaian kualiti serta perlu mendapat kelulusan kerana melibatkan pertambahan kos projek dan tambahan tempoh masa kontrak,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Tambah Norhaslinda, tarikh baharu jangkaan siap adalah pada 19 Ogos .
“Kami ingin memastikan kerja yang dijalankan selamat dan menepati piawaian,” katanya.
Terdahulu, Utusan Malaysia baru-baru ini melaporkan mengenai rasa terkilan dan tidak puas hati penduduk berhampiran berhubung tempoh masa penutupan tasik yang dilanjutkan telah menjejaskan aktiviti riadah mereka selain menjejaskan aktiviti perniagaan peniaga.-UTUSAN ONLINE











