PADA minggu lalu, Rang Undang-Undang (RUU) Akta Pertubuhan Belia dan Pembangunan Belia (Pindaan) 2019 (Akta 668) yang antara kandungannya adalah menurunkan had umur belia daripada 40 tahun kepada 30 tahun telah dibentangkan pada sidang Dewan Rakyat dan kemudiannya diluluskan selepas dibahaskan 17 ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang.
Kandungan lain RUU yang dibentangkan oleh Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman adalah tempoh pemegang jawatan dalam sesuatu pertubuhan belia tidak kurang daripada 18 tahun dan tidak melebihi 30 tahun pada tarikh pelantikan.
Ekoran pembentangan itu, Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM), Jufitri Joha telah mengeluarkan kenyataan melahirkan perasaan kesal dan terkilan yang amat mendalam kerana ia dibuat tanpa persetujuan terakhir bersama MBM selaku pihak yang bakal terkesan langsung dengan pindaan berkenaan.
Jufitri turut menjelaskan, had umur 15-35 tahun adalah penyelesaian terbaik dan munasabah yang diterima semua badan gabungan MBM untuk dilaksanakan sebelum langkah seterusnya dibuat bagi memberi laluan kepada anak muda di bawah 30 tahun memimpin pertubuhan belia.
Berikutan polemik yang timbul antara pertubuhan-pertubuhan belia di seluruh negara, terutama di bawah gabungan MBM yang telah menyuarakan ketidakselesaan mereka dan implikasi besar yang akan berlaku kepada pertubuhan-pertubuhan berkenaan ekoran penurunan had umur yang agak mendadak, maka saya menyeru kepada pihak menteri serta Kementerian Belia dan Sukan (KBS) supaya terus berbincang.
Kedua-dua pihak perlu duduk semeja untuk berbincang supaya tidak berlaku pertentangan sengit antara pihak KBS, menteri dan pertubuhan-pertubuhan belia terutama yang diwakili MBM. Walaupun sudah ada beberapa perbincangan awal sejak 2015, namun saya difahamkan perbincangan berkenaan belum dimuktamadkan.
Perbincangan ini penting kerana pertubuhan-pertubuhan belia akan menerima kesan langsung daripada pengenalan akta baharu ini terutama soal kelangsungan dan kesinambungan pertubuhan berkenaan jika diturunkan umur kepemimpinan belia itu sampai ke tahap 30 tahun sahaja.
Idea KBS itu baik namun saya yakin pertubuhan-pertubuhan belia mempunyai alasan tersendiri untuk menolaknya kerana mereka memahami realiti sebenar disebabkan telah bergiat di peringkat kampung, daerah, negeri dan pusat.
Had umur itu perlu dibincangkan betul-betul secara halus kerana implikasinya cukup besar kepada kelangsungan pertubuhan-pertubuhan belia itu sendiri.
Dalam pada itu, menyentuh satu lagi keresahan membabitkan pengasas-pengasas gerakan reformasi pada peringkat awal dari 1998 hingga 2008 yang dikatakan kebajikan mereka tidak terbela. Ada antara mereka dikatakan sakit dan tiada pekerjaan.
Saya ingin menjelaskan platform bagi membela kebajikan mereka telah diwujudkan melalui Persatuan Rapat Rakyat (Rapat) yang telah didaftarkan dengan Pendaftar Pertubuhan (ROS) pada 2017.
Mulai sekarang, Rapat yang bergerak sepenuhnya sebagai NGO akan bergiat aktif kerana semakin banyak rungutan dan keluhan diterima dalam kalangan pengasas-pengasas reformasi ini yang merasakan mereka tertinggal, tidak dihargai dan tidak dijaga dari segi kebajikan.
PENULIS ialah Pengerusi Himpunan Generasi Muda Muslim Malaysia (HG3M) dan juga Pengerusi Rapat.











