PUTRAJAYA – Jabatan Imigresen menahan 27 wanita warga asing dipercayai terlibat dalam aktiviti pelacuran dalam satu serbuan di sebuah premis di Sungai Besi, Kuala Lumpur pada 17 Julai lalu.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, daripada jumlah itu, 15 wanita adalah warga Indonesia, lapan warga Thailand dan empat warga Vietnam dalam serbuan pada pukul 5.30 petang itu.
Katanya, premis yang menawarkan perkhidmatan seks itu kerap dikunjungi pelanggan asing antaranya warga Iran, Jepun dan Korea pada harga bermula RM190.
“Bilik-bilik yang disediakan dihiasi cantik dan dilengkapi bilik mandi di setiap satu unit.
“Empat pekerja lelaki warga Bangladesh dan tiga lelaki tempatan dipercayai menjadi penjaga premis itu turut ditahan,” katanya pada sidang akhbar di Bahagian Perisikan Jabatan Imigresen di sini hari ini.
Khairul Dzaimee berkata, premis itu turut mempunyai tonto yang mengawasi setiap kenderaan yang keluar dan masuk premis tersebut.
“Ada sebahagian wanita itu dan penjaga premis yang cuba melarikan diri namun tindakan tersebut berjaya digagalkan melalui kepungan awal yang dibuat di sekeliling premis.
Tambahnya, premis itu pernah diserbu pada 5 Julai tahun lalu dan kes pendakwaan belum selesai dan masih dalam proses perbicaraan.
“Kita dapati ada salah seorang penjaga tempatan di situ dan beberapa wanita warga asing itu pernah ditangkap dalam operasi sebelum ini dan antaranya masih dalam jaminan mahkamah.
“Premis tersebut giat menjalankan aktiviti pelacuran tanpa rasa takut dan bersalah walaupun telah beberapa kali diserbu,” katanya.
Sementara itu, Khairul Dzaimee berkata, antara kesalahan yang dikenal pasti ialah menyalahgunakan pas atau permit, tiada dokumen pengenalan diri, tinggal lebih masa dan lain-lain kesalahan yang melanggar Akta Imigresen 1959/63.
“Seramai lima pelanggan yang berada di dalam premis semasa serbuan turut diberi notis Borang 29 (Saman Saksi) bagi membantu siasatan.
“Kesemua tahanan ini akan ditempatkan di Depot Tahanan Imigresen Bukit Jalil untuk siasatan dan tindakan susulan,” ujarnya. – K! ONLINE











