PPM Langkawi rampas anak pokok seludup dari Thailand - Utusan Malaysia

PPM Langkawi rampas anak pokok seludup dari Thailand

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LANGKAWI – Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Satu Langkawi berjaya menggagalkan cubaan membawa masuk pelbagai jenis anak pokok yang diseludup masuk dari Thailand di pesisiran Pantai Tanjung Rhu di sini semalam.

Dalam operasi Op Landai kira-kira pukul 9 pagi itu, sepasukan anggota PPM mengesan sebuah lori jenis Daihatsu dalam keadaan mencurigakan.

Anggota kemudian bertindak menghampiri lori tiga tan tersebut sebelum menemui sebuah bot pelancong warna putih dengan muatan anak pokok.

Memuatkan artikel berkaitan…

Komandernya, Asisten Komisioner Rosman Ismail berkata, seramai dua lelaki tempatan dan seorang warga Thailand ditemui di lokasi kejadian bersama sejumlah benih pokok di dalam bot berkenaan.

“Pemeriksaan lanjut menemui sebanyak 615 anak pokok getah, durian (157), kedondong (10) dan dokong (6) yang dibawa masuk dari Thailand dengan cara tidak diwartakan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Kata beliau, pihaknya bertindak merampas semua anak pokok serta lori dan bot tersebut dengan nilai keseluruhan rampasan kira-kira RM71,000.

“Kesemua tangkapan berusia antara 38 hingga 62 tahun dan rampasan dibawa balik ke Pengkalan PPM Wilayah Satu di Bukit Malut di sini untuk siasatan lanjut,” ujarnya.

Tambahnya, kes diserahkan kepada Jabatan Perkhidmatan Kuarantin Dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis).

“Kes disiasat di bawah Seksyen 11(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin Dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728),” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini