Pontian peluang Azroy hambat Afif - Utusan Malaysia

Pontian peluang Azroy hambat Afif

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Azroy Hakeem Anuar menjadi taruhan pasukan Idemitsu Honda Yuzy Racing untuk menguasai Pusingan 4 Kejuaraan Cub Prix Malaysia Petronas 2019 di Pontian, Johor hujung minggu ini.

Pontian yang merupakan venue baharu Cub Prix musim ini seharusnya dipergunakan sebaik mungkin oleh Azroy untuk meraih mata maksimum dalam misi memintas kedudukan Ahmad Afif Amran (Petronas Sprinta Yamaha-CKJ Racing) dalam carta pendahulu keseluruhan kelas CP150.

Afif, juara keseluruhan musim lalu kini mendahului kedudukan dengan 58 mata manakala Azroy di tempat kedua dengan 55 mata.

Memuatkan artikel berkaitan…

Azroy telah membuktikan kehebatannya dalam dua pusingan awal selepas menjuarai Pusingan 1 dan 2 di Jasin, Melaka serta Batu Kawan, Pulau Pinang.

Namun, nasibnya tidak begitu baik pada Pusingan 3 di Tangkak, Johor selepas dia sekadar menamatkan perlumbaan di tempat ke-11 untuk meraih lima mata.

Minggu ini, dia perlu mengembalikan rentak cemerlang jika mahu terus memberi tekanan kepada pencabar utamanya, Afif.

Malah, pengurus pasukan, Shahrol Yuzy Ahmad Zaini mempunyai keyakinan yang tinggi bahawa anak didiknya itu akan kembali menyengat di Pontian minggu ini, seperti mana yang dibuktikan dalam dua pusingan awal sebelum ini.

Menurut Yuzy, Azroy mampu melakukannya jika mengambil kira prestasinya di Jasin dan Batu Kawan.

“Pontian seharusnya medan buat Azroy, lagipun keadaan jenteranya ketika ini berada pada tahap terbaik. Azroy perlu meraih sebanyak mata yang mungkin bagi mengubah kedudukannya dalam carta keseluruhan.

“Perbezaan mata antara Azroy dan Afif ketika ini tidak banyak beza, oleh itu dia (Azroy) perlu menjadikan Pontian ini sebagai medan untuk kembali bergelar juara.

“Saya yakin dia mampu melakukannya selepas berdepan dengan masalah jentera ketika saingan Pusingan 3 di Tangkak sebelum ini.

“Lebih menarik, Pontian adalah litar baharu dan ia peluang baik buat pelumba kami khususnya Azroy untuk melakukan penamat podium.

“Selain itu, misi kami di Pontian adalah untuk terus mengukuhkan status kami selaku pendahulu keseluruhan kategori berpasukan,” jelas Yuzy.

Esok (Sabtu) Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan menyaksikan perlumbaan berprestij itu sempena persinggahan Kembara Mahkota Johor di Pontian. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini