KUALA LUMPUR 11 Julai – Pasukan Polis Marin (PPM) dan Jabatan Perikanan Semporna bertindak lebih agresif dengan menahan bot yang menggunakan enjin pam serta dikendalikan tekong warga asing dalam satu Operasi Khas kali ini.
Komander Pasukan Polis Marin Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Mohamad Pajeri Ali berkata, operasi kali ini bertujuan untuk membuat pemeriksaan ke atas bot-bot kampung yang beroperasi menggunakan enjin pam dan kenaikan tangkapan hasil laut lain di perairan Semporna.
Menurutnya, dalam pada itu turut dikuatkuasakan ialah akta dan peraturan melibatkan aspek-aspek keselamatan yang termaktub dalam Ordinan Perkapalan Suadagar 1960(MSO), Akta Polis 1967 dan Kanun Keseksaan.
“Hasil operasi yang dijalankan pagi semalam bertujuan melakukan pemeriksaan dokumentasi terutamanya kad pengenalan diri, permit dan lesen.
“Sebanyak tiga buah perahu beroperasi menggunakan bot pam yang tidak berdaftar ditahan dan empat buah perahu beroperasi menggunakan enjin pam berdaftar tetapi dikendalikan oleh bukan warganegara,” katanya di sini.
Mohamad Pajeri memberitahu, ini menjadikan enam kes tangkapan dibawah Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigressen 1959/63 serta melibatkan penahanan 10 orang lelaki tanpa dokumen pengenalan diri yang sah.
Tambahnya, semua tangkapan dan rampasan dibawa ke pangkalan Markas Operasi Pasukan Polis Marin Semporna untuk tindakan lanjut.
“Dalam usaha menangani aktiviti mengebom ikan di perairan Semporna dan susulan insiden melibatkan kematian tiga individu yang terkena bom ikan, Pasukan Polis Marin Semporna terus melancarkan Op Bersepadu bersama Jabatan Perikanan dengan membuat pemeriksaan di premis penjualan ikan di Pasar Basah bagi memastikan pihak yang menjalankan aktiviti bom ikan dapat dibendung secara lebih aggresif,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE











