PKR tekad kukuh kedudukan - Utusan Malaysia

PKR tekad kukuh kedudukan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PORT DICKSON 21 Julai – Parti Keadilan Rakyat (PKR) hari ini mengulangi tekad untuk mengukuhkan kedudukan sebagai parti tonggak nasional pelbagai kaum berdasarkan prinsip Perlembagaan dan memastikan manifesto Pakatan Harapan (PH) terlaksana.

Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail berkata, bagi mencapai matlamat itu, PKR akan terus menjuarai isu-isu rakyat dengan mendekati masyarakat dan memberikan pembelaan kepada komuniti.

Katanya, parti itu telah mengadakan pemukiman melibatkan seramai 120 ahli Majlis Pimpinan Pusat, Ahli Dewan Rakyat, Ahli Dewan Negara dan Ahli Dewan Undangan Negeri dari PKR.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kami telah berbincang secara jujur, terbuka dan telah mencapai resolusi bersama. Program ini menjadi platform pimpinan bermuhasabah, menggilap kembali idealisme perjuangan, mengukuhkan disiplin dan perpaduan parti dan menilai kembali rekod perkhidmatan selama setahun sebagai kerajaan dan bagaimana Pakatan Harapan (PH) bergerak ke hadapan.

“Kami juga memberi sokongan penuh kepada Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk memacu dan memimpin PKR yang menjadi tonggak PH, selaras dengan semua peruntukan sebagaimana terkandung di dalam perlembagaan parti,” katanya yang membacakan dokumen resolusi dalam sidang akhbar selepas majlis penutup pemukiman PKR di sini hari ini.

Seramai 20 orang termasuk Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali tidak hadir pada pemukiman itu.

Kesemua peserta pemukiman itu telah menandatangani dokumen resolusi berkenaan.

Anwar yang turut hadir dalam sidang akhbar itu menyifatkan pemukiman itu sebagai berjaya dengan peratusan yang tidak hadir adalah kecil.

Jelasnya, semangat kerjasama dan perpaduan dalam parti itu begitu erat berbanding apa yang digambarkan oleh sesetengah media.

“Mereka yang tidak hadir sebahagiannya memberi alasan munasabah seperti ibu sakit tenat, dua di hospital dan ada yang ke luar negara,” katanya.

Ditanya sekiranya ada pemimpin yang enggan menandatangani resolusi pemukiman itu, beliau enggan membuat andaian yang negatif.

“Saya seorang yang positif. Kita kena beri ruang kepada mereka baca dulu sama ada setuju atau tidak. Saya tidak fikir ada yang akan pertikaikan,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini