KUALA LUMPUR 12 Julai – Majlis Amanah Rakyat (Mara) menafikan dakwaan Ketua Wirawati Parti Bumiputra Perkasa Malaysia (Putra), Dr. Asmah Razalli berhubung pengurangan peruntukan penganjuran pendidikan kepada pelajar cemerlang ke luar negara.
Mara dalam kenyataannya menegaskan, kerajaan telah meluluskan peruntukan sebanyak RM2 bilion bagi program pinjaman pelajaran untuk tahun 2019 sama seperti tahun-tahun sebelum ini.
Jelas agensi berkenaan, peruntukan berkenaan digunakan untuk menaja 38,758 orang dan diunjurkan sehingga 50,000 pelajar menjelang akhir tahun yang mengikuti pengajian di semua peringkat dalam dan luar negara.
“Mara tidak menetapkan sebarang kuota penghantaran pelajar ke luar negara tetapi berasaskan kepada bidang-bidang yang selari dengan keperluan guna tenaga negara.
“Setakat Mei 2019, seramai 1,535 pelajar sedia ada di luar negara yang mengikuti pelbagai program di bawah Mara dengan sehingga hujung tahun ini diunjurkan seramai 1,750 orang pelajar lagi akan dihantar ke luar negara.
“Penghantaran pelajar itu akan menjadikan jumlah keseluruhan pelajar Mara di luar negara adalah seramai 3,285 orang tahun ini, melebihi jumlah pelajar pada tahun 2018,” kata agensi itu dalam kenyataan di sini hari ini.
Dr. Asmah dalam kenyataan Selasa lalu mempersoalkan penurunan jumlah pelajar tajaan Mara ke luar negara yang didakwa telah dipotong melebihi separuh kuota.
Bukan itu sahaja, Dr. Asmah turut mendakwa kadar perbelanjaan pembiayaan Mara yang dahulunya gah kini menjunam hanya sekadar RM223.5 juta setakat 31 Mei 2019. – UTUSAN ONLINE











