KUALA LUMPUR 13 Julai – Peningkatan pengeluaran perindustrian tempatan susulan peningkatan setinggi empat peratus berbanding tahun 2018 dalam indeks pengeluaran perindustrian (IPP) pada Mei lalu mencerminkan pertumbuhan ekonomi negara yang kekal mampan pada suku kedua tahun ini.
Menteri Kewangan, Lim Guan Eng malah mengatakan IPP negara telah berkembang sebanyak 3.2 peratus bagi tempoh lima bulan sejak Januari sehingga Mei berbanding tempoh sama tahun lalu.
Jelas beliau, keadaan berkenaan ternyata berbeza dengan trend pengeluaran perindustrian bagi negara-negara ASEAN lain yang didapati menguncup pada bulan sama dengan pengeluaran perindustrian di Filipina, Singapura dan Thailand masing-masing menjunam sebanyak 2.1, 2.4 dan 4.0 peratus tahun-ke-tahun
Guan Eng malah memberitahu, ekonomi Singapura bagi suku kedua tahun ini hanya berkembang sebanyak 0.1 peratus tahun-ke-tahun iaitu bersama penguncupan 3.4 peratus jika dibandingkan daripada suku-ke-suku.
“Pengembangan eksport dan pengeluaran perindustrian menunjukkan bahawa ekonomi negara adalah kukuh sambil mengatasi cabaran luaran. Malaysia sedang menerima manfaat daripada perang perdagangan menerusi peralihan perniagaan serta fenomena lencongan perdagangan dan pelaburan.
“Pelaburan langsung asing (FDI) yang diluluskan untuk semua sektor dalam suku pertama 2019 meningkat 73.4 peratus kepada RM29.3 bilion berbanding RM16.9 bilion tahun lalu. Peningkatan ini disebabkan peningkatan mendadak sehingga 127 peratus FDI yang diluluskan bagi sektor pembuatan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Semalam, Jabatan Perangkaan mengumumkan peningkatan IPP sebanyak empat peratus pada Mei 2019 berbanding bulan sama pada tahun lalu, didorong oleh peningkatan dalam indeks elektrik (5.7 peratus), pembuatan (4.2 peratus) dan perlombongan (tiga peratus). – UTUSAN ONLINE











