KUALA LUMPUR 31 Julai – Perpaduan dan keharmonian kaum di negara ini tidak boleh dibuat-buat, sebaliknya ia merupakan formula untuk memerdekakan negara sejak dari dahulu lagi.
Jadi, titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah supaya rakyat tidak mencetuskan api perselisihan antara kaum adalah merupakan nasihat yang tepat pada masanya selain akan menyemarakkan pengukuhan perpaduan di negara ini.
Presiden Persatuan Gerakan Demokrasi Profesional (Prodem), Md. Shukri Shuib berkata, bukan setakat ahli politik, tetapi golongan rakyat juga perlu memainkan peranan memelihara toleransi dan persefahaman antara kaum di negara ini.
Beliau malah memberitahu, perpaduan juga perlu diterapkan sehingga ke peringkat pekerjaan di sektor swasta selain serius menghapuskan diskriminasi.
“Dalam hal ini, semua perlu bersikap demokratik. Titah Agong wajar dijunjung rakyat. Ia merupakan nasihat yang benar-benar ikhlas.
“Keprihatinan Agong menunjukkan satu teras ke arah kedamaian. Golongan subversif yang menghina institusi raja, kaum dan agama wajar ditangani segera. Komunisme, militan dan golongan penghasut dalam media sosial juga perlu ditangani,” katanya kepada Utusan Online.
Semalam, Yang di-Pertuan Agong menitahkan semua pihak agar jangan sekali-kali mencetuskan api perselisihan dengan membangkitkan perkara yang boleh menggugat dan meruntuh keharmonian negara.
Seri Paduka menegaskan bahawa perpaduan dan keharmonian rakyat adalah tiang seri dan kekuatan negara.
Sementara itu, Pengerusi Yayasan Keprihatinan Komuniti Malaysia (MCCF), Halim Ishak pula memberitahu, rakyat perlu kembali memegang lima prinsip Rukun Negara.
Katanya, perselisihan kaum tidak akan berlaku sekiranya semua rakyat memelihara prinsip berkenaan.
“Titah Agong berpaksi kepada Rukun Negara. Ia juga merupakan teguran sinis untuk pemimpin-pemimpin politik yang memperjuangkan kepentingan peribadi masing-masing pada waktu ini.
“Pemimpin politik yang mempunyai agenda memecahbelahkan rakyat, wajar disekolahkan. Mereka patut malu kepada Agong yang selalu mencemar duli ‘turun padang’ untuk bersama-sama rakyat berbanding mereka yang akan sibuk lima tahun sekali,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE











