MALAGA – Perlawanan persahabatan Charlton Athletic bersama kelab bawahan Romania, Gaz Metan Medias dihentikan selepas 49 minit ekoran berlakunya pergaduhan melibatkan pemain dan pengadil.
Charlton berdepan Gaz Metan Medias dalam satu perlawanan tertutup di Malaga, semalam.
Bagaimanapun, perlawanan itu tidak berlangsung dengan baik sejurus Charlton dihadiahkan sepakan penalti pada separuh masa kedua.
Lyle Taylor dijatuhkan dalam kotak penalti sebelum pemain Gaz Metan Medias bertindak agresif membantah keputusan pengadil.
Pemain-pemain Gaz Metas Medias kemudiannya mengasari pengadil dan menyebabkan dua kad merah dilayangkan.
Pengadil perlawanan pada awalnya dilihat mahu meninggalkan perlawanan ekoran tindakan tidak profesional pemain kelab Romania itu.
Akhirnya pengadil perlawanan mengambil keputusan untuk menghentikan perlawanan selepas pemain Gaz Metan Media membuat kekacauan di dalam padang.-AGENSI











