KUALA LUMPUR – Perkhidmatan tren eletrik (ETS) Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dan KTM Komuter laluan Pelabuhan Klang – Tanjung Malim yang ditutup akibat gelinciran tren kargo berhampiran Stesen Rawang, dekat sini akan beroperasi semula pukul 5.30 pagi esok.
Ketua Pegawai Eksekutif KTMB, Rani Hisham Samsudi berkata, baki kerja membaik pulih yang melibatkan kerosakan teruk pada wayar, kabel dan landasan keretapi sepanjang 800 meter akan dilakukan di luar waktu operasi tren.
“Tiga stesen yang ditutup sebelum ini iaitu Stesen Kuang, Rawang dan Serendah akan dibuka semula dan perkhidmatan bas percuma akan dihentikan esok.
“Bagaimanapun, pada 25 Julai hingga 4 Ogos ini, perkhidmatan bas itu akan beroperasi semula iaitu untuk perjalanan terakhir pukul 10.55 malam dari Kuala Lumpur ke Tanjung Malim,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program Choo Choo Tarik Minat Kanak -Kanak Naik Skypark Link.
Dalam kejadian 17 Julai lalu,, sebuah tren kargo dengan muatan simen tergelincir mengakibatkan landasan tunggal di antara Rawang dan Kuang terhalang sepenuhnya.
Tren yang dalam perjalanan dari Tasek, Perak menuju ke Sungai Buloh itu terbalik ketika melalui landasan di Kilometer 356.016 sekali gus menjejaskan perkhidmatan ETS, KTM Komuter dan KTM Kargo.- UTUSAN ONLINE











