PORT DICKSON – Seorang lelaki cedera parah akibat tercampak ke dalam longkang selepas terbabit dalam kemalangan dengan sebuah kereta Perodua Kenari di Kilometer 10.5, Jalan Seremban-Port Dickson di sini pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Aidi Sham Mohamed berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 7.10 pagi itu, mangsa, M. Dhevakumar sedang menunggang motosikal jenis Yamaha 135 LC dari arah Seremban menuju Port Dickson.
“Apabila tiba di lokasi kejadian, sebuah kereta Perodua Kenari di laluan sama telah menukar arah dari lorong kanan ke kiri secara tiba-tiba.
“Mangsa yang bekerja sebagai pemandu lori tidak sempat membrek dan mengelak lalu melanggar bucu belakang sebelah kiri kereta berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan media di sini hari ini.
Aidi Sham berkata, kemalangan itu mengakibatkan mangsa dan motosikalnya tercampak ke dalam longkang di kiri bahu jalan.
Jelasnya, mangsa mengalami retak tulang lutut kanan, tulang pinggul kanan teralih dan luka-luka pada badan.
Tambahnya, mangsa dihantar ke Hospital Port Dickson po untuk rawatan lanjut, manakala pemandu kereta tidak mengalami kecederaan.
“Siasatan lanjut masih dijalankan di bawah Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.











