GUA MUSANG – Seorang penunggang motosikal yang putus tangan selepas terlibat dalam nahas jalan raya dengan sebuah lori di Kilometer 21, Jalan Gua Musang-Kuala Krai, di sini semalam meninggal dunia semasa dirawat di hospital.
Muhamad Saiful Ab. Rahman, 36, meninggal dunia pada pukul 2 pagi di Hospital Kuala Krai selepas hampir sembilan jam bertarung nyawa.
Semasa kejadian semalam mangsa menunggang motosikal jenis Yamaha Y15ZR dan berasal dari Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) Kesedar Paloh 2 di sini.
Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Mohd. Taufik Maidin berkata, mangsa yang merupakan seorang pekerja ladang menghembuskan nafas terakhir kira-kira pukul 2 pagi di bilik rawatan kecemasan HKK.
Katanya, kejadian kemalangan itu berlaku kira-kira pukul 5.30 petang di hadapan hentian Rehat & Rawat Rantau Manis ketika mangsa menunggang motosikal Yamaha Y15ZR dari arah Gua Musang ke Kuala Krai.
“Sebaik tiba di lokasi, sebuah lori yang sedang mengikuti belakang sebuah kenderaan pacuan empat roda Toyota Hilux dari arah Kuala Krai ke Gua Musang tiba-tiba mengelak ke sebelah kanan jalan.
“Akibat kejadian itu, mangsa tidak sempat mengelak lalu melanggar cermin sisi kanan lori terbabit yang datang dari arah bertentangan sebelum mangsa terjatuh,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Mohd. Taufik berkata, motosikal ditunggang mangsa dipercayai bergesel kuat dengan lori terbabit menyebabkannya mengalami cedera parah di tangan kanan dan badan.
Katanya, bagaimanapun pemandu lori jenis Hino, Mohd. Iqbal Hakim Adnan, 22, dari Kampung Chabang 3 Chetok, Pasir Mas tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Mangsa yang cedera dihantar ke hospital bagi mendapat rawatan sebelum disahkan meninggal dunia hampir 9 jam kejadian kemalangan.
“Mayat mangsa dibedah siasat di Hospital Kuala Krai sebelum diserahkan kepada keluarga untuk dikebumikan pagi ini,” katanya.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. -K! ONLINE











