IPOH – Penjawat awam di negeri ini didapati masih tidak yakin dengan pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH) meskipun selepas setahun memegang pemerintahan negara.
Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia dan NGO negeri, Hasnul Zulkarnain Abd. Munaim berkata, berdasarkan laporan yang diterima, ada dalam kalangan mereka yang masih ragu-ragu dengan dasar-dasar yang dijalankan kerajaan Persekutuan mahupun kerajaan negeri.
Sehubungan itu, kerajaan negeri mengadakan Kempen Setia Perakku bagi memperoleh kepercayaan dan kesetiaan penjawat awam.
“Kempen di bawah portfolio penerangan ini adalah kempen pertama bersama penjawat awam dengan kerjasama Kementerian Dalam Negeri (KDN) Perak.
“Kempen ini adalah antara kaedah untuk menyampaikan kepada mereka (aspirasi kerajaan) dan selepas ini mungkin kita akan membuka sesi dialog dua hala jika ada rungutan mahupun cadangan penambahbaikan dari segi sistem kerajaan yang ada kini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri program Kempen Setia Perakku bersama penjawat awam agensi di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) di Dewan Bankuet, Kompleks KDN Meru di sini hari ini.
Menurut Hasnul Zulkarnain, beliau melihat perlunya ada kesetiaan khidmat daripada penjawat awam terutamanya kepada raja dan negara sekali gus memastikan apa yang dirancang oleh kerajaan dapat direalisasikan.
Justeru itu katanya, pihaknya merancangkan untuk meneruskan kempen sama bersama penjawat awam daripada kementerian lain berikutan sambutan baik yang diterima.
“Di bawah portfolio penerangan, kita telah menjelajah 12 daerah untuk bertemu dengan pemimpin masyarakat dan bagi fasa kedua, ia diteruskan bersama penjawat awam dan selepas ini mungkin bersama golongan belia.
“Melalui kempen ini, kita telah menerima maklum balas positif daripada penjawat awam dan diharap perkongsian hari ini dapat dikongsi bersama rakan-rakan sejawatan lain,” katanya.-UTUSAN ONLINE










