SAUDARA PENGARANG,
PENIAGAindustri kecil dan sederhana (IKS) perlu belajar akaun atau sekurang-kurangnya memahami lima elemen dalam bidang itu iaitu pendapatan, perbelanjaan, harta, tanggungan dan modal.
Kenapa memahami lima elemen ini sangat penting? Sebabnya, daripada lima elemen inilah seorang pemilik perniagaan boleh mengetahui pencapaian dan kedudukan kewangan perniagaannya.
Untuk mengetahui pencapaian sesebuah perniagaan, pemilik perlu membandingkan jumlah pendapatan dengan jumlah perbelanjaan. Jumlah pendapatan yang melebihi perbelanjaan dikenali sebagai keuntungan, manakala jumlah perbelanjaan melebihi pendapatan adalah kerugian.
Kedudukan kewangan pula diketahui dengan membandingkan jumlah harta dengan jumlah tanggungan. Sekiranya jumlah harta melebihi tanggungan, kedudukan ini dipanggil nilai harta bersih. Nilai harta bersih pula bersamaan dengan nilai modal pemilik.
Dalam banyak keadaan, sesebuah perniagaan mempunyai nilai harta bersih yang positif, namun boleh juga berlaku nilai harta bersih di bawah sifar (negatif). Keadaan ini dikenali sebagai nilai tanggungan bersih.
Akhirnya, pemilik perniagaan IKS perlu belajar akaun supaya faham pencapaian dan kedudukan kewangan perniagaannya.
MOHD. HALIM KADRI
Universiti Teknologi Mara (UiTM) Johor











