KUALA LUMPUR 31 Julai – Seorang lelaki ditahan kerana cuba memberi suapan berupa wang tunai kepada anggota Batalion 11 Pasukan Gerakan Am (PGA) dalam Op Libas kelmarin.
Suspek ditahan selepas disyaki melakukan aktiviti penjualan rokok seludup di sekitar Serian, Sarawak serta cuba merasuah anggota bertugas sebanyak RM58,700.
Utusan Borneo dipetik melaporkan, Pegawai Pemerintah Batalion 11, Superintenden Rosdi Inai berkata, suspek berusia 56 tahun berbuat demikian selepas anggotanya menemukan 1,216 karton rokok seludup pelbagai jenis pada pukul 12.30 tengah hari yang disembunyikan di dalam premisnya di Kampung Triboh.
Menurutnya, kesemua rokok tersebut dianggarkan bernilai RM200,640.
“Hasil pemeriksaan, suspek yang dipercayai pemilik premis tersebut gagal mengemukakan sebarang dokumen pengisytiharan cukai rokok tersebut, malah cuba menghulurkan rasuah kepada anggota bertugas.
“Suspek kemudian ditahan di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan boleh dijatuhkan hukuman denda minimum lima kali nilai suapan atau penjara 20 tahun jika disabitkan kesalahan,” katanya dalam kenyataan yang dipetik Utusan Borneo.
Mengulas lanjut, Rosdi memberitahu, kes itu diserahkan kepada Ibu pejabat Polis Daerah Serian untuk disiasat mengikut Seksyen 135 Akta Kastam 1967 .
Manakala bagi kes cubaan memberi suapan kepada penjawat awam jelasnya, kes diserahkan kepada SPRM untuk disiasat mengikut Akta SPRM yang boleh membawa hukuman denda minimum lima kali nilai suapan atau denda RM10,000 (mana yang lebih tinggi), atau penjara sehingga tempoh 20 tahun jika sabit kesalahan.
“Maklumat yang diperoleh setakat ini mendapati rokok tersebut diseludup dari negara jiran dan untuk pasaran tempatan,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE











