PUTRAJAYA – Pemandu e-hailing yang masih belum mematuhi syarat-syarat perkhidmatan e-hailing yang ditetapkan oleh kerajaan dibenarkan untuk meneruskan operasi selama tiga bulan mulai hari ini.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, keputusan itu dicapai menerusi mesyuarat Jemaah Menteri yang memutuskan penguatkuasaan itu dilaksanakan melalui pendekatan soft landing atau berbentuk pendidikan secara berperingkat kepada pemandu e-hailing.
Katanya, untuk tempoh itu, mana-mana pemandu tanpa lesen kenderaan pengangkutan awam (PSV) atau memandu kenderaan yang tidak memenuhi syarat kenderaan akan diberi nasihat dan amaran akhir supaya melengkapkan semua peraturan terlibat.
“Pelbagai pihak telah memberikan pandangan untuk beri sedikit masa lagi sebelum penguatkuasaan sepenuhnya dilaksanakan.
“Bagaimanapun, perlu dijelaskan bahawa penguatkuasaan kepada pemandu dan syarikat bermula hari ini dan tiada penangguhan. Cuma kaedah penguatkuasaan itu diberikan sedikit kelonggaran iaitu melalui pendekatan mendidik,” katanya pada sidang akhbar di Kementerian Pengangkutan di sini hari ini.
Anthony turut menegaskan bahawa tiada alasan bagi pemandu e-hailing untuk tidak mematuhi peraturan yang ditetapkan dalam tempoh berkenaan.
“Bagi mereka, kalau diberi masa tiga tahun pun tidak cukup, lebih baik jangan ada peraturan. Jadi tidak ada soal cukup atau tidak cukup (masa). Ini kita bagi tempoh yang sangat cukup kepada para pemandu ini untuk mematuhi syarat tersebut.
“Selain itu, kita tahu masih ramai lagi pemandu e-hailing yang sedang mengambil kursus PSV dan kita tidak mahu ada gangguan kepada pihak penumpang,” jelasnya.
Sementara itu, Anthony turut mengingatkan 31 syarikat perniagaan pengantaraan (EHO) berdaftar selaku pemegang Lesen Perniagaan Pengantaraan (LPP) sah agar tidak mengenakan sebarang komisen tambahan kepada pemandu e-hailing.
Katanya, kadar komisen yang ditetapkan kepada pemandu e-hailing adalah maksimum 20 peratus manakala kadar komisen pemandu teksi yang beroperasi melalui aplikasi e-hailing adalah maksimum 10 peratus.
“Saya tahu ada EHO tertentu yang guna helah dengan memakai nama lain seperti caj, fi dan sebagainya untuk mendapatkan tambahan lima peratus komisen.
“Tidak boleh ada bentuk komisen lain dalam apa nama sekali pun. Mana-mana EHO yang berbuat demikian akan dikenakan tindakan di bawah Akta Pengangkutan Awam Darat,” katanya.
Sementara itu, Anthony berkata, setakat 11 Julai, sebanyak 17,596 permit kenderaan e-hailing (eVP) dikeluarkan dengan 13,380 eVP kenderaan persendirian manakala 4,216 adalah eVP teksi.
“Jumlah ini akan meningkat dari semasa ke semasa setelah semua pemandu selesai mendapatkan lesen PSV masing-masing,” katanya.
Jelasnya, pada masa sama, sebanyak 22,981 orang telah lulus ujian PSV dengan 19,891 daripadanya menduduki ujian itu di 226 institut memandu di seluruh negara manakala 3,090 menerusi EHO masing-masing. – K! ONLINE











