JAKARTA 9 Julai – Polis menetapkan seorang wanita sebagai suspek berhubung penularan imej Presiden Indonesia, Joko Widodo (Jokowi) yang disunting seperti mumia menerusi akaun media sosialnya.
Lapor Detik News, Ida Fitri, 44, yang merupakan pemilik akaun Facebook Aida Konveksi, ditetapkan sebagai suspek selepas pihak polis menjalankan siasatan selama dua hingga lima jam terhadapnya.
Ketua Polis Residen Kota Blitar, Adewira Negara Siregar berkata, pihaknya telah menghantar surat kepada Ida untuk memanggilnya untuk disoal siasat sekali lagi.
“Setelah kes disiasat, individu berkenaan kini ditetapkan sebagai suspek kerana memenuhi unsur-unsur dalam undang-undang informasi dan transaksi elektronik,” katanya, semalam.
Adewira menambah, pihaknya akan memanggil semula suspek untuk diambil keterangan beberapa hari lagi.
Suspek perlu hadir untuk mengikut sesi soal siasat dalam tempoh 72 jam mengikut prosedur yang telah ditetapkan.
“Selepas pemeriksaan dilakukan, penyiasat akan tentukan sama ada suspek perlu ditahan atau pun tidak,” tambahnya.
Ida yang disiasat sebanyak dua kali akhirnya mengaku menyunting gambar Jokowi sebagai karya seni namun tidak bermaksud menghina Presiden sebelum memohon maaf kepada seluruh rakyat Indonesia atas perkongsiannya itu. – AGENSI











