Pengarah syarikat pemaju didakwa tipu projek kondominium pelajar tidak wujud - Utusan Malaysia

Pengarah syarikat pemaju didakwa tipu projek kondominium pelajar tidak wujud

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH 5 Julai – Seorang pengarah syarikat pemaju hari ini dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini atas tiga pertuduhan menipu melibatkan kerugian RM300,000 bagi tujuan pembayaran deposit untuk projek kondominium pelajar yang tidak wujud, tujuh tahun lalu.

Tertuduh, Chang Kok Kheong, 60, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Nabihah Mohd Noor.

Mengikut kesemua pertuduhan, tertuduh didakwa menipu Low Chong Ban, 57, dengan memperdayakannya supaya mempercayai bahawa projek kondominium pelajar yang akan dibina di atas tapak projek bernama Segi Enclave adalah wujud.

Memuatkan artikel berkaitan…

Tertuduh didakwa mendorong Chong Ban untuk menyerahkan wang kepadanya masing-masing sebanyak RM100,000 melalui Maybankard Visa, RM100,00 (CIMB Mastercard) dan RM100,000 (Citi Bank Mastercrd).

Kesemua pertuduhan itu didakwa dilakukan tertuduh di Pejabat Energizer Properties Sdn Bhd di No. 127, Jalan Sultan Abdul Jalil Greentown pada 4 Oktober 2012.

Pertuduhan yang dikemukakan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan itu memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang setahun dan maksimum 10 tahun dengan sebatan dan denda, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Afiqah Izzati Mazlan sementara tertuduh diwakili peguam Charan Singh.

Terdahulu, Afiqah memohon mahkamah supaya jaminan sebanyak RM10,000 dikenakan bagi setiap pertuduhan ke atas tertuduh.

Bagaimanapun, Charan memohon jaminan berkenaan dikurangkan ekoran tertuduh merupakan salah seorang pengarah syarikat yang turut berdepan tuduhan lain, justeru tiada sebab untuk dia melarikan diri.

Mahkamah bagaimanapun membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM20,000 bagi kesemua pertuduhan beserta seorang penjamin terdiri daripada ahli keluarga terdekat berusia 21 tahun ke atas selain menetapkan 6 Ogos ini untuk sebutan semula kes. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini