PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) telah menerima lampu hijau daripada Persatuan Bola Sepak Jepun (JFA) untuk mendapatkan tiga pengadil import ‘Samurai Biru’ itu bagi perlawanan final Piala FA 2019 di antara Kedah dengan Perak pada 27 Julai depan.
Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam mengakui, badan induk bola sepak negara itu lebih berminat untuk menjalin kerjasama dengan JFA meskipun Persatuan Bola Sepak Australia turut bersedia untuk menawarkan pengadil mereka pada perlawanan tersebut.
“Pada awalnya kita telah menghantar permohonan kepada Thailand, Australia dan Jepun untuk menggunakan pengadil mereka, tetapi hanya Jepun serta Australia yang memberi maklum balas positif manakala pengadil dari Thailand sedang menjalani kursus Video Bantuan Pengadil (VAR).
“Justeru, pihak FAM lebih berminat untuk menjalinkan kerjasama dengan JFA serta telah mengadakan perbincangan lanjut untuk menggunakan tiga pengadil dari sana bagi final Piala FA musim ini.
“Secara lisannya, mereka telah bersetuju, tetapi saya lebih berminat untuk menunggu hitam putih terlebih dahulu sebelum mengumumkan secara rasmi. Apa yang pasti, mereka yang terpilih nanti memiliki pengalaman luas serta diiktiraf oleh FIFA,” kata Stuart ketika menghadiri Kongres FAM ke-55 yang berlangsung di Petaling Jaya semalam.
Sebelum ini, penganjur Liga Malaysia (Liga M) iaitu Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) dilaporkan tidak mempunyai halangan untuk melaksanakan penggunaan pengadil import pada pentas final Piala FA 2019 dan akan memberikan sokongan penuh kepada usaha tersebut.
Namun, Stuart turut menafikan bahawa keputusan menggunakan pengadil import ini seperti menutup ‘periuk nasi’ pengadil tempatan kerana ia adalah dalam fasa percubaan dan penambahbaikan yang dikehendaki oleh sebahagian besar penyokong Liga M.
“Saya rasa apabila aksi final, intensitinya sangat tinggi dan sebelum ini permintaan untuk pengadil import mengadili perlawanan juga sangat tinggi. Justeru, ini adalah masa yang paling tepat untuk kita mencuba bagi memuaskan hati semua pihak,” katanya.











