KUALA LUMPUR – Penduduk dan peniaga di bawah kawasan pentadbiran Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) dialu-alukan untuk mengemukakan pandangan dan cadangan Bajet MPSJ 2020.
Timbalan Pengarah Jabatan Korporat dan Pengurusan Strategik MPSJ, Azfarizal Abdul Rashid memaklumkan, pandangan dan cadangan terhadap bajet tersebut yang telah bermula 1 Julai lalu boleh dikemukakan melalui borang kaji selidik yang disediakan di laman sesawang di https://www.surveymonkey.com/r/CZFGMHP.
Ujar MPSJ, pandangan serta input penduduk dan peniaga amat penting bagi memastikan bajet yang dirangka adalah komprehensif dan dapat memenuhi keperluan pemegang taruh (stakeholder) MPSJ.
“Sehubungan itu, kami memohon semua pihak dapat memberi pandangan mereka bagi lima teras perbelanjaan antaranya seperti tadbir urus terbaik melibatkan kewangan serta perancangan dan pembangunan mesra alam.
“Ia termasuk pembangunan sosio ekonomi yang pesat, mobiliti dan capaian kepada pelanggan dan tempat serta pembentukan madani iaitu program kemasyarakatan dan penguatkuasaan,” katanya dalam satu kenyataan.
Ujarnya, MPSJ berharap dengan keterlibatan masyarakat di dalam perancangan Bajet MPSJ 2020 ini dapat menghasilkan satu bajet yang mampan dan komprehensif.
Sebarang pertanyaan mengenai perkara ini, orang ramai boleh hubungi Jabatan Perbendaharaan MPSJ di talian 03-8026 4311 atau layari www.mpsj.gov.my untuk keterangan lanjut. – UTUSAN ONLINE











