Penduduk Asia ragui EV - Utusan Malaysia

Penduduk Asia ragui EV

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 21 Julai – Jualan kenderaan elektrik (EV) sepenuhnya di peringkat global meningkat seba­nyak 23 kali ganda dalam tempoh lima tahun lalu, dengan 37 peratus pengguna di Asia Tenggara kini mula mempertimbang untuk membeli EV.

Bagaimanapun, Nissan menerusi kajian Masa Depan Kereta Elektrik di Asia Tenggara dikendalikan oleh Frost & Sullivan mendapati satu pertiga daripada pengguna di Asia Tenggara yang terbuka membeli kenderaan elektrik masih ragu-ragu untuk memilikinya.

Naib Presiden Kanan Serantau Nissan Asia & Oceania, Yutaka Sanada berkata, persoalan dan mitos paling biasa diajukan mengenai EV adalah berkaitan pengecasan, jarak, pemanduan dan pemilikan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Katanya, sebagai pengeluar automotif pertama di dunia yang menghasilkan EV dengan kepakaran lebih 70 tahun dalam teknologi automotif ini, syarikat mahu membantu mening­katkan kesedaran mengenai perkara ini.

Jelas beliau, terdapat tiga pilihan mengecas untuk EV iaitu Pengecas Outlet Standard yang memerlukan masa mengecas lebih 13 jam, Wall Box Charger yang lebih pantas berbanding pengecasan daripada soket biasa dan CHAdeMO Quick Chargers.

“Biarpun begitu, Nissan Leaf serba baharu menawarkan cara pengecasan yang mudah untuk kegunaan harian, Nissan Leaf serba baharu hadir dengan 6.6kW Wall Box Charger yang mengambil masa kira-kira tujuh jam untuk kereta dicas penuh.

“Ini merupakan pilihan terbaik untuk pemilik EV kerana mereka boleh memasang plag dan mengecasnya sepanjang malam apabila pulang ke rumah. Kira-kira 80 hingga 90 peratus pemilik Nissan Leaf gemar mengecas pada waktu malam,” katanya dalam laporan itu baru-baru ini.

Jarak perjalanan merupakan satu lagi kebimbangan mereka yang ingin memiliki sebuah EV kerana takut kehabisan bateri. Tetapi, disebabkan kemajuan teknologi, jarak median kende­raan elektrik telah meningkat sebanyak 56 peratus.

Bukan itu sahaja, beliau berkata, kebanyakan pemandu di Asia Tenggara bergerak kurang dari 80 kilometer sehari. Jarak itu boleh dicapai dengan mudah menerusi satu kali caj pada kebanyakan EV hari ini.

Tambahnya, selain jarak pemanduan, timbul salah anggap mengenai jurang prestasi di antara EV dan kenderaan biasa di samping wujud kebimbangan EV tidak dapat memecut de­ngan sewajarnya.

“EV generasi baharu sebenarnya lebih mengujakan, selamat, bersih dan seronok dipandu berbanding kereta konvensional.

“Kenderaan dengan enjin 2.0L secara purata mampu menawarkan kuasa maksimum 150PS dan tork 200Nm. Sedang­kan Nissan Leaf dengan rangkaian kuasa baharu berupaya mencapai kelajuan 0 hingga 100km/j dalam masa 7.9 saat bersama pecutan maksimum lebih 150km/j,” katanya.

Dengan jumlah komponen bergerak yang lebih kurang pada EV, pemilik boleh berjimat dari segi kos penyelenggaraan dan bahan api.

Ramai pengguna percaya EV mempunyai ruang dalaman yang terhad. Namun begitu, EV pada hari ini menawarkan kenderaan penuh kuasa yang direka khas untuk pemandu moden. Tanpa paip ekzos, ia mempu­nyai lebih banyak ruang kosong berbanding kenderaan konvensional.

Sebagai contoh, Nissan Leaf serba baharu mempunyai ruang seluas 435 liter di bahagian belakang. Ini bersamaan dengan meletak sebuah tab mandian yang penuh dengan barang-barang dan masih lagi mempunyai ruang kosong.

Bukan itu sahaja, Nissan Leaf boleh menempatkan sehingga lima orang dewasa dengan selesa.

Mengapa EV diragui?

Tempoh mengecas 
 kenderaan

Takut kehabisan bateri

Jurang prestasi antara EV 
 dan kenderaan biasa

EV tidak boleh memecut

Ruang dalaman EV terhad

(SUMBER : Kajian Masa Depan Kereta Elektrik di Asia Tenggara)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini