JOHOR BAHRU 7 Julai – Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar bertitah, bahawa sistem pendidikan berperanan penting dalam mewujudkan perpaduan dalam kalangan rakyat yang terdiri daripada pelbagai kaum di negara ini.
Baginda bertitah, semangat perpaduan perlu bermula dari sekolah seiring dengan usaha untuk memupuk nilai-nilai keharmonian antara kaum di samping memberi penekanan kepada subjek Sejarah untuk mengukuhkan lagi jati diri rakyat.
“Sistem pendidikan berperanan dalam menjadi medium penting sebagai pemangkin perpaduan kaum di negara ini,” titah Sultan Johor kepada Royal Press Office (RPO) di sini sebentar tadi.
Terdahulu, Baginda berkenan menerima mengadap Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik di Pejabat Mados, Istana Bukit Pelangi di sini pagi ini.

Pertemuan dengan Sultan Johor berlangsung lebih sejam dan Dr. Maszlee turut mendapatkan pandangan Baginda berhubung hala tuju serta sistem pendidikan negara.
Sultan Johor turut bertitah menekankan kepentingan penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar sekolah tanpa mengenepikan bahasa Melayu.
“Begitu juga dengan cadangan di mana Bahasa Mandarin dan Tamil boleh turut dipelajari bersama-sama dan menjadi kelebihan dalam penguasaan Bahasa.
“Kemahiran menguasai pelbagai Bahasa bukan sahaja suatu perkara baik, malah dapat mengeratkan lagi hubungan antara kaum,” titah Sultan Johor. – UTUSAN ONLINE











