KUALA SELANGOR – Seorang pemilik bengkel antara tiga lelaki yang ditahan dalam serbuan Ops Cegah Jenayah Khas kerana disyaki terlibat dalam aktiviti curi kenderaan dan melerai komponen sebelum dijual kepada bengkel haram dan besi buruk sekitar daerah ini.
Ketiga-tiga suspek berusia lingkungan 22 hingga 59 tahun itu ditahan kira-kira pukul 1 tengah hari, Selasa lalu di sebuah bengkel haram milik salah seorang suspek di Kampung Sungai Sireh, Tanjung Karang, dekat sini.
Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Md. Asri A. Wahab berkata, siasatan lanjut di bengkel milik suspek berusia 59 tahun itu kemudiannya telah menemui dua buah rangka kereta jenis Perodua Kancil dan Proton Iswara.
Beliau berkata, kedua-dua kereta berkenaan telah dileraikan dan pemeriksaan lanjut mendapati kenderaan itu dilaporkan hilang di sekitar kawasan Tanjong Karang sejak beberapa bulan yang lalu.
“Selain rangka dua buah kereta, kita turut menemui beberapa komponen kereta yang telah dileraikan antaranya papan pemuka, kerusi, beberapa bahagian enjin dan banyak lagi.
“Polis turut merampas sebuah alat pemotong besi dan sebuah mesin gerudi yang dipercayai digunakan oleh suspek untuk meleraikan kereta yang dicuri,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Md. Asri berkata, siasatan lanjut mendapati ketiga-tiga lelaki tersebut aktif melakukan jenayah itu sejak empat bulan yang lalu.
“Mereka ini akan menjual komponen kereta yang telah dileraikan kepada pemilik bengkel dan juga kedai besi buruk sekitar daerah ini.
“Susulan itu, kita juga akan melakukan pemeriksaan dan pemantauan di bengkel-bengkel haram dan juga kedai besi buruk bagi mengekang aktiviti jenayah itu daripada berleluasa,” ujarnya.
Tambah beliau, kesemua suspek kini direman selama tiga hari sehingga hari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan kerana curi kenderaan. – K! ONLINE











